Pelakon Aeril Zafrel mengakui kaum lelaki memiliki kelemahan dalam menyediakan barang keperluan dapur.

Perkara tersebut diakui Aeril ketika sesi Instagram Live #ArtisDudukDiam bersama Astro Gempak baru-baru ini.

Ketika ditanya mengapa dia membiarkan isteri keluar membeli barang keperluan, Aeril wanita lebih cekap dalam hal menguruskan keperluan rumah.

“Selama ini pun, barang keperluan dapur dan seisi rumah Wawa yang uruskan. Saya rasa, kebanyakan isteri di luar sana juga sama. Para isteri lebih pakar dalam bab ini.

“Orang lelaki ni kalau disuruh beli barang, mesti akan ada yang kurang sana-sini atau tertinggal apa-apa yang perlu dibeli.

“Lagi pun, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) inikan seorang sahaja yang boleh keluar, Wawa yang minta izin untuk keluar beli barang,” katanya.

Dalam pada itu Aeril turut menasihati orang ramai supaya terus mematuhi PKP dan menjaga kesihatan masing-masing.

Baru-baru ini warganet mempersoalkan tindakan Wawa Zainal keluar membeli barang dapur dan keperluan.

Sehingga ada yang mengecam Aeril kerana tidak mengambil tanggung jawab tersebut.