Pelakon, model dan usahawan, Zarina Anjoulie Lavocah telah menghantar dua surat tuntutan berasingan terhadap pelakon Emelda Rosmila dan Amyza Aznan yang menuntut permintaan maaf dan pampasan sebanyak RM4 juta.

Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan, Zarina berkata, tuntuan dibuat kerana kedua-dua pelakon tersebut telah menjatuhkan reputasinya melalui 'posting' dan komen berbaur fitnah mengenai dirinya di Telegram dan Instagram.

Menurut peguam yang mewakili Zarina iaitu Nurul Hafidzah, pihaknya menuntut sebanyak RM3 juta daripada Amyza dan RM1 juta daripada Emelda.

Jelasnya, surat-surat tuntutan itu dihantar hari ini melalui firma guaman NHA Advocates and Solicitors.

"Zarina juga memohon kedua-dua individu tersebut untuk berhenti menulis dan menerbitkan apa-apa bentuk tulisan mengenainya.

"Zarina mahu Emelda dan Amyza membuat permintaan maaf secara terbuka dan seterusnya membayar ganti rugi kerana merosakkan reputasinya, menyebabkan tekanan dan menghasut kebencian orang awam terhadapnya.

"Emelda dan Amyza melakukan penyiaran dan komen-komen yang salah, menyedari ia adalah palsu dan dengan sengaja membahayakan kedudukan imej, jenama peribadi dan reputasi klien kami, Zarina Anjoulie Lavocah.

"Kedua-dua individu tersebut menerbitkan tuduhan palsu dan fitnah mengenai klien kami, " katanya.

Tambahnya lagi, Emelda dan Amyza tidak mempunyai sokongan fakta ketika mereka berulang kali menuduh Zarina dan menerbitkan 'posting' dan komen-komen yang merujuk kepadanya sebagai seorang yang telah bertanggungjawab menimbulkan kebencian netizen terhadap mereka.

"Kami akan mengambil tindakan undang-undang yang diperlukan jika surat tuntutan tersebut tidak dijawab dalam masa tujuh hari," katanya.

Untuk rekod, isu 'perang' antara Zarina dan beberapa artis lain bermula apabila terdapat pihak yang meminta cadangan daripada kerajaan untuk memberi bantuan kepada penggiat seni.

Kemuncak krisis ini berlaku apabila tersebar 'screenshot' perbualan selebriti yang didakwa menghina netizen dan Zarina.