Ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pastinya aplikasi panggilan video antara yang paling mendapat permintaan tinggi.

Namun, biarpun banyak aplikasi lain menyokong panggilan video secara beramai-ramai, aplikasi penghantaran mesej paling popular iaitu WhatsApp masih lagi terhad kepada hanya empat pengguna saja.

Berita baik buat semua, WhatsApp tidak lama lagi bakal menawarkan fungsi panggilan suara dan video sehingga lapan orang secara serentak.

Perkara itu didedahkan oleh syarikat Facebook menerusi satu posting di Twitter.

"Kami mempeluaskan panggilan suara dan video WhatsApp sehingga 8 pengguna," kata pengendali akaun tersebut.

Pastinya pengumuman ini sangat ditunggu-tunggu memandangkan orang ramai di seluruh dunia kini banyak menghabiskan masa di rumah untuk menjalani arahan PKP serta 'Lockdown'.

Malah, ia juga akan menjadi alternatif terbaik untuk menggantikan aplikasi Zoom yang kini dilanda kontrroversi berhubung masalah kebocoran data.

Biarpun begitu, WhatsApp masih belum mengeluarkan tarikh rasmi bila fungsi ini akan dikeluarkan.

Berkemungkinan fungsi tersebut akan dikeluarkan menerusi kemas kini tidak lama lagi.

Selain WhatsApp, Facebook juga bakal memperkenalkan fungsi terbaru iaitu Messenger Rooms yang membolehkan anda membuat panggilan video yang menyokong sehingga 50 orang.



Sumber: Twitter Rasmi Facebook