Pernah suatu masa pinggan mangkuk bercorak yang dijual dengan harga rendah tular di media sosial.

Baru-baru ini, set pinggan mangkuk bercorak itu kembali heboh diperkatakan dan ramai yang tercari-cari untuk tujuan dekorasi kediaman.

Bagaimanapun, menerusi makluman daripada Public Health Malaysia, pinggan mangkuk bercorak itu sebenarnya boleh mendatangkan kesan tidak baik kepada kesihatan terutama kanak-kanak.

"Pinggan mangkuk dengan corak berwarna warni dan terang memang cukup menarik.

"Namun berhati hati, kerana ia mungkin tidak selamat untuk kegunaan harian.

"Bahan yang mengandungi plumbum telah lama digunakan sebagai bahan utama dalam penghasilan produk seramik yang bercorak dan berwarna warni," dedah akaun rasmi Facebook Public Health Malaysia.


Antara ciri ciri pinggan mangkuk yang mungkin mengandungi plumbum adalah:

1. Pinggan yang dibuat secara tradisional dengan tanah liat

2. Pinggan dengan corak yang dilukis dan menarik

3. Permukaan pinggan yang tidak rata, anda dapat rasa corak yang dilukis dengan tangan

4. Pengilang yang tidak diketahui (bukan jenama yang diketahui)

5. Pinggan dengan pelbagai bentuk

Manakala, pinggan yang selamat adalah:

1. Pinggan berwarna putih tanpa corak

2.Corak pinggan di bawah atau luar pinggan

Namun, jika anda masih ingin menggunakan pinggan mangkuk bercorak, ini langkah-langkah yang patut anda lakukan:

1. Elakkan meletakkan makanan panas

2. Jangan panaskan atau masuk ke dalam ketuhar atau microwave

3. Jangan simpan makanan terlalu lama

4. Jangan letak makanan berasid seperti tomato, limau, teh, kopi dan jus buah

5. Elakkan basuh dengan sabun atau menyental permukaan pinggan dengan dawai kerana ia akan merosakkan permukaan dan menyebabkan bahan plumbum lebih mudah bocor

6. Jangan hidangkan untuk kanak kanak dan wanita hamil

Foto sekadar hiasan