Pengarah dan pelakon Yusry Abdul Halim mendedahkan bahawa dia terpaksa mengambil inisiatif dengan mengkuarantin seorang kru di rumahnya bagi menjayakan telefilem terbaharu berjudul 6 Hari.

Menurut Yusry, tindakannya itu dibuat sebagai langkah keselamatan yang perlu diambilnya bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan ketika ingin melakukan penggambaran.

"Saya tak boleh nak shoot dengan telefon sebab ini untuk siaran televisyen. Jadi, terpaksa juga dapatkan seorang kru untuk jurukamera untuk shoot di rumah saya.

"Cumanya, kru tersebut perlu menjalani ujian Covid-19 terlebih dulu. Selepas keputusan negatif, barulah, dia duduk di rumah kami untuk penggambaran.

"Saya tak boleh benarkan dia keluar masuk kerana di rumah kami ada ibu Lisa dan anak-anak. Saya tak mahu merisikokan sesiapa.

"Jadi, saya terpaksa kuarantin dia di rumah saya sahaja. Tidur di rumah dan ketika itu bulan puasa, buka puasa pun sama-sama. Enam hari juga dia duduk dengan saya," ceritanya yang mengarahkan telefilem tersebut.

A post shared by Yusry Abdul Halim (@yusryabdhalim) on


Menurut Yusry, dia mengakui ia bukan satu tugas yang mudah untuk melaksanakan penggambaran naskhah tersebut memandangkan ia dilakukan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

"Saya terpaksa buat cerita yang logik untuk kita hasilkan. Sebab saya kene tengok di sekeliling rumah, apa yang boleh digunakan untuk shoot cerita ini.

"Bagi pelakon lain, saya beri mereka panduan apa yang perlu dibuat kerana mereka perlu rakam sendiri. Komunikasi menerusi panggilan video untuk jelaskan kepada mereka.

"Ada juga yang terpaksa saya minta mereka lakukan sekali lagi," ceritanya yang memberitahu proses penggambaran juga selesai dalam tempoh 6 hari.

Coming Soon! Watch this space

A post shared by Yusry Abdul Halim (@yusryabdhalim) on


Telefilem, 6 Hari turut menampilkan Yusry bergandingan dengan Lisa Surihani bersama Datuk Aaron Aziz dan Neelofa.

Ia mengisahkan konflik yang dilalui Suzi (lakonan Lisa) menjadi isteri ketiga kepada Ismal (Aaron Aziz) apabila didatangi bekas kekasihnya, Faizal (Yusry) yang keluar dari penjara.

Jadi, kalau anda ingin mengetahui apakah yang terjadi kepada Suzi yang mengkhianati janji bersama bekas kekasihnya itu, jangan lupa saksikan 6 Hari di Astro Citra dan Astro Ria pada 13 Jun ini pukul 9 malam.

Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!