Seorang pengguna Facebook, Subulus As-Salam mendakwa idea asal untuk filem Ada Apa Dengan Dosa adalah miliknya.

Malah, katanya filem terbitan Pencil Pictures & Records itu akan punyai kesinambungan kedua tidak lama lagi.

"Nantikan Ada Apa Dengan Dosa 2, dengan tatacara dan skrip yang lebih indah dan mendidik jiwa," tulisnya.

Bagaimanapun, menurut perbualannya di Facebook, dia tidak terlibat secara langsung dalam penulisan skrip filem terbabit.

"Idea dan skrip asal sahaja. Ada tambahan lain juga. Sambungannya masih dalam perancangan," tambahnya.



Pengguna terbabit turut berkongsi foto ketika berada di Edinburg, Scotland setahun sebelum penggambaran filem itu dijalankan.



Subulus turut mempromosikan filem Ada Apa Dengan Dosa termasuk runut bunyi nyanyian Datin Alyah, Hakikat Jiwa di Facebook miliknya.

Perkongsian pengguna itu mencetuskan tanda tanya mengenai siapakah penulis skrip sebenar filem terbabit memandangkan kredit yang dicatatkan menyebut nama Rahila Ali dan Rudy Imran selaku individu yang bertanggungjawab.



Ada Apa Dengan Dosa mengisahkan kehidupan seorang gadis yang dibesarkan dalam keluarga freethinker bernama Aurora (Wanna Ali) yang mendapat tahu identiti sebenarnya dari keluarga beragama Islam.

Lebih mengejutkan apabila Aurora adalah seorang anak luar nikah hasil daripada keterlanjuran perbuatan seorang pendakwah dan ibu kandungnya.

Kesannya, Aurora hampir membunuh diri namun kehidupannya berubah selepas bertemu dengan Khaliq (PU Riz).

Filem itu dibintangi Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, PU Riz, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.

Ada Apa Dengan Dosa telah mula ditayangkan di saluran Astro First (480) sejak 4 Jun.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton Ada Apa Dengan Dosa selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem Ada Apa Dengan Dosa, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.

Gempak masih cuba mendapatkan maklum balas daripada pengguna tersebut.

Gempak juga akan mendapatkan komen lanjut daripada Rahila Ali dan Rudy Imran.