Penyanyi Wani Kayrie menjelaskan dia tidak berniat untuk mempersendakan mana-mana komuniti apabila membuat satu video TikTok dengan wajah bercat warna hitam.

Menurut Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 20, dia tidak pernah terfikir video tersebut boleh memberi sebarang kontroversi.“Sebenarnya Wani buat video itu selepas balik dari shooting drama Dayang Senandung.

“Wani bukanlah saja-saja menghitamkan diri untuk buat video TikTok sebaliknya dihitamkan sebab diberi peranan memegang watak utama dalam drama tersebut,” jelas Wani ketika dihubungi Gempak.

Menerima kecaman yang agak teruk di laman sosial, Wani akui terkesan dan sedih kerana kritikan netizen itu bertentangan dengan tujuannya.

Atas nasihat pengurusan juga, video tersebut telah diturunkan demi tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.



Namun, Wani turut bersyukur apabila ada wargamaya yang turut mempertahankannya dan memuji tindakan Wani memadam video tersebut.

“Wani sangat-sangat berterima kasih pada individu yang menyokong atau memihak padanya. Ada juga individu kat luar sana yang memahami tugas Wani sebagai pelakon yang bekerja dan mencari rezeki,” jelasnya lagi.

Menjadikan perkara ini sebagai pengajaran, Wani akan lebih berhati-hati untuk memuat naik sebarang kandungan di laman sosialnya.

“Wani akan jadi lebih peka, berhati-hati dan akan jadi satu iktibar utk dia di masa akan datang.

“Tapi hal ini tidak akan menjadi penyebab untuk Wani mengalah malah saya terus kuat dalam industri,” katanya lagi sebagai penutup.