Ahli perniagaan dan selebriti terkenal Neelofa menerusi Pertububan Kasih Neelofa akan menganjurkan Qurban Kasih Neelofa bersempena Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba tidak lama lagi.

Program ini memberi peluang kepada individu yang ingin melaksanakan korban dengan mudah disamping meluaskan ilmu pengetahuan mengenai ibadah ini kepada orang ramai.

“Menerusi program Qurban Kasih Neelofa ini, kami berharap agar dapat memudahkan proses golongan yang ingin melaksanakan ibadah korban.



“Malah, kami berharap ia dapat menambah ilmu orang ramai tentang kepentingan, kebaikan ibadah ini dalam kalangan umat Islam serta proses untuk melaksanakan korban secara berhemah dan betul,” kata Neelofa menerusi satu kenyataan yang dihantar kepada Gempak.

Bekas pengacara MeleTOP ini berharap agar inisiatifnya untuk membantu golongan yang memerlukan menerusi penubuhan Pertubuhan Kasih Neelofa dapat diterima baik dalam kalangan orang ramai.

BACA: Neelofa Tubuh Badan Kebajikan Pertubuhan Kasih Neelofa Untuk Bantu Mereka Yang Memerlukan

“Banyak aktiviti lain yang dirangka oleh pihak Pertubuhan Kasih Neelofa. Tetapi, kami akan umumkan satu persatu pada masa akan datang,” ujarnya.

“Bukan mudah untuk menguruskan pertubuhan, lebih-lebih lagi yang melibatkan wang kebajikan dan derma daripada orang ramai. Ia merupakan satu amanah yang sangat besar.

“Saya berharap agar orang awam memberikan kepercayaan kepada saya dan sama-sama menjadikan Pertubuhan Kasih Neelofa ini sebagai platform untuk semua,” jelasnya lagi.