Penyanyi dan komposer terkenal, Aizat Amdan tampil dengan single duet bersama artis Indonesia, Hanin Dhiya yang berjudul ‘KU MAU’.

Menurut Aizat, ini merupakan langkah dirinya untuk mengembangkan karya dan berkolaborasi dengan penggiat seni seluruh dunia.

"Sebagai penyanyi dan penulis lagu, saya memang mengimpikan untuk mengembangkan karya saya dan berkolaborasi demi mendekati pendengar seluruh dunia.

"Single ini merupakan langkah pertama gabungan penulis Sweden Melanie Wehbe (komposer), Elias Naslin (penerbit/jurutera/komposer), Indonesia Yeshua Abraham (penulis lirik bahasa Indonesia) dan Malaysia Anas Amdan (produser/komposer) serta saya sendiri (komposer) untuk melebarkan lagi karier.

"KU MAU rentaknya bersahaja, sesuai buat semua golongan muda atau tua. Lagu ini berkonsepkan cinta yang luas dengan bait-bait lirik jenaka dan serius serta romantis dalam masa yang sama membuatkan ia sesuai untuk segala keadaan 'good vibes'.

"Saya sangat gembira apabila Hanin sudi menjadi teman duet justeru menaikkan lagi taraf lagu ini dengan vokal beliau yang merdu. Keserasian di antara saya dan Hanin sangat senang dan bersahaja membuatkan lagu ini lebih berwarna- warni. Saya harap pendengar akan jatuh cinta dengan lagu ini dan mampu menujukan lagu ini kepada orang tersayang," kata Aizat.



Sementara itu, Hanin mendedahkan dia sudah jatuh cinta ketika kali pertama mendengar lagu ‘KU MAU’.

Hanin yang merupakan bekas peserta akhir rancangan realiti Rising Star Indonesia beberapa tahun lalu mempunyai suara yang sangat merdu dan serasi dengan gaya vokal Aizat, yang juga seorang bekas peserta rancangan realiti Akademi Fantasia lebih sedekad yang lalu.

Tambah pelantun lagu Suatu Saat Nanti, pengalaman dia bekerjasama dengan Aizat sangat dipermudahkan.

"Ini kali pertama saya menyanyikan single yang ceritanya bukan lagi tentang patah hati. Dari pertama kali saya diberi untuk mendengar lagu ini oleh Aizat ketika dia di Sweden, saya sudah jatuh cinta dengan rentaknya.

"Asalnya lagu ini berbahasa Inggeris dan saya tidak menyangka yang lagu ini boleh diadaptasikan kepada Bahasa Malaysia serta Indonesia dan dijadikan single duet untuk saya dan Aizat. Saya berharap agar para pendengar dapat tersenyum ketika mendengar bait-bait lirik ‘KU MAU’.

"Pengalaman berduet bersama Aizat amat disenangi kerana beliau seorang yang baik dan peramah. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang meluangkan masa untuk mendengar cerita saya dan Aizat," kata Hanin.



'KU MAU’ ditulis oleh Aizat Amdan, Anas Amdan, Yeshua Abraham (Indonesia), Melanie Wehbe (Sweden) dan Elias Naslin (Sweden).

"Single ini mengisahkan tentang dua insan yang bercinta pada jarak jauh. Walaupun berbeza negara, namun jejaka itu sanggup datang untuk menemui dan melamar kekasihnya. ‘KU MAU’ juga menerapkan kesungguhan pasangan ini untuk menjayakan kisah cinta mereka.

‘KU MAU’ merupakan terbitan Kasi Gegar Entertainment dan edaran Warner Music Malaysia boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes bermula 26 Jun 2020.