Kumpulan Dolla yang mendapat jolokan Blackpink Malaysia oleh peminat mereka ini menyahut cabaran menyertai pertandingan “How You Like That” Dance Cover Contest anjuran kumpulan wanita terkenal antarabangsa, BLACKPINK.

Dolla yang dianggotai empat wanita iaitu Sabrina, Tabby, Syasya dan Angel berharap video tarian mereka mendapat sokongan rakyat Malaysia.

“Kami berharap video penyertaan kami menari mengikut koreografi lagu terbaharu BLACKPINK ini, berjaya mencuri perhatian peminat muzik di Malaysia dan di luar negara.

“Sekiranya video ini dapat pergi jauh dan dinikmati oleh ramai orang pun sudah memadai. Semoga peminat muzik di Malaysia sudi menyokong usaha kami ini dengan menonton dan berkongsi video ini dengan rakan-rakan mereka,” kata Dolla.

Pertandingan yang dijangka akan disertai oleh peminat kumpulan K-Pop tersebut dari serata dunia ini, menawarkan hadiah utama sejumlah KRW 10 juta bersamaan dengan RM 35,000.

Peserta hanya perlu merakam video tarian mereka mengikut koreografi penuh seperti yang dipaparkan dalam video muzik terbaharu BLACKPINK, ‘How You Like That’.

Pertandingan ini akan berlangsung daripada 6 hingga 20 Julai 2020 dan pemenang akan diumumkan pada 28 Julai 2020.

Dalam perkembangan lain, video muzik rasmi ‘Dolla Make You Wanna’ yang dimuatnaik di laman YouTube Universal Music Malaysia sejak 19 Mac lalu, sudah mencapai lebih 1 juta tontonan.

Malah video rasmi ‘Dolla Make You Wanna’ turut menjadi tumpuan YouTuber dari dalam dan luar negara.

Ada yang mula membuat video ‘dance cover’ mengikut gerak tari DOLLA dalam video muzik tersebut, malah ada juga yang membuat video ulasan dengan makluman positif berkenaan bakat tarian DOLLA yang dipuji sebagai mempesonakan.