HIBURAN
Tiada Campur Tangan Pihak Ketiga, Mas Idayu Buka Mulut Kes Cerai - "Allah Tutup Aib Kami, Saya Memang Layak Mohon ..."
Penyanyi terkenal, Mas Idayu Mesnun, 51, tampil menjelaskan bahawa keputusan untuk bercerai dengan bekas suami, Muhammad Sufian Che Isa, 54, dibuat atas kehendaknya sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa.
"Saya tuntut fasakh ke atas bekas suami dan tiada campur tangan pihak ketiga," katanya dalam satu temubual bersama program Melodi TV3.
Menurut Mas Idayu, tuntutan fasakh telah dikemukakan sebelum bermulanya program realiti Famili Duo, dan proses ke mahkamah dilakukan secara terbuka walaupun tidak diketahui ramai.
"Saya tidak pergi ke mahkamah (syariah) ketika itu secara sembunyi-sembunyi. Tapi, Allah menutup segala aib apabila kunjungan saya untuk memohon perceraian tidak dihidu sesiapa.
"Saya juga tidak sorok perceraian ini kerana kehadiran di mahkamah untuk tuntutan fasakh itu ditemani wali serta kakak saya. Malah, saya dan bekas suami langsung tidak bergaduh.
"Kami boleh ketawa ketika pergi ke mahkamah untuk bercerai. Tapi mungkinlah Allah bantu tutup aib kami dan apa yang boleh dikatakan lagi, saya memang sangat layak memohon perceraian ini," katanya lagi.
Dalam kenyataan tersebut, penyanyi Cinta 100% ini turut menekankan bahawa beliau sangat berhati-hati dalam membuat keputusan, dan sedar akan implikasi tuntutan cerai bagi seorang isteri dari sudut agama.
Mas Idayu yang merupakan ibu tunggal kepada seorang anak perempuan, menegaskan beliau tidak menyalahkan sesiapa atas perpisahan itu, sebaliknya menerima takdir dengan hati terbuka.
"Apa yang penting, memang saya yang tekad menuntut perpisahan itu dan juga, tidak dapat menolak kenyataan bahawa Muhammad Sufian pernah menjadi suami saya."
Sebelum ini, pada 5 Mei lalu, Muhammad Sufian yang juga Penerbit Eksekutif TV3, mengesahkan perceraiannya dengan Mas Idayu yang telah berlaku pada 4 Mac 2025 di Mahkamah Syariah Shah Alam.
"Saya anggap antara kami sudah tiada jodoh dan perceraian itu pun berlaku dalam keadaan baik. Kami juga sehingga kini masih lagi bersahabat baik walaupun sudah berpisah," jelasnya.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada September 2022, namun perkahwinan tersebut hanya bertahan selama kira-kira satu setengah tahun.
Mereka pertama kali berkenalan pada tahun 2008 ketika rancangan Mentor 3, namun hubungan mula rapat sekitar 2021 sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
Mas Idayu pernah berkahwin dengan pelakon Aman Graseka pada tahun 1997 dan bercerai pada 2006, dengan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Dayini Asyiqah, kini berusia 28 tahun.
Sementara itu, Muhammad Sufian pernah mendirikan rumah tangga dengan personaliti TV, Intan Suraya, namun perkahwinan itu turut berakhir dengan perceraian. Mereka difahamkan mempunyai seorang anak bersama.
Must-Watch Video