Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) memerlukan penambahbaikan, akui Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, undang-undang sedia ada berkenaan berkenaan digubal sebelum era media sosial seperti TikTok dan YouTube dan telah digunakan selama ini, iaitu oleh kerajaan-kerajaan terdahulu, termasuk Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, lapor Astro Awani.

“Ketika menjawab soalan itu, saya hanya menerangkan tentang undang-undang yang sedia ada, iaitu Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 [Akta 244] yang diluluskan Parlimen pada tahun 1981,” jelas Saifuddin.

Ujarnya lagi, laporan media mengenai jawapan beliau memberi gambaran yang tidak tepat sehingga membawa kepada makna yang berbeza daripada maksud jawapan sebenar.

“Pada 1981, teknologi pada masa itu tiada langsung media sosial seperti Tik Tok, YouTube dan sebagainya. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ambil maklum bahawa Akta ini perlu penambahbaikan.

Ahli Parlimen Indera Mahkota juga menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah dan tidak berniat menggunakan akta ini untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial.

“Ini telah pun saya nyatakan dalam sidang media Kad Laporan 100 hari saya sebagai Menteri KKMM pada 20 Jun 2020, iaitu KKMM sedang menilai semula semua undang-undang di bawah pengawasannya,”
katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan Ahli Parlimen Indera Mahkota itu sebagai berkata, semua penerbit filem termasuk agensi media arus perdana dan media persendirian diwajibkan memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) sebelum menerbitkan filem mereka di platform media sosial ataupun saluran tradisi.

Katanya lagi, pemegang lesen perlu memaklumkan kepada FINAS sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum penggambaran sesuatu filem dimulakan.

Laporan itu telah menimbulkan reaksi negatif sebilangan besar penghasil filem, serta netizen di laman sosial.

Rata-rata mereka berpandangan tujuan permohonan SPP adalah tertakluk bagi syarikat dan produksi yang memegang lesen pengeluaran Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dimana hasil karyanya hanya ditayangkan di televisyen mahupun pawagam.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan Perikatan Nasional tidak pernah dan tidak berniat menggunakan Akta itu untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial, iaitu fenomena yang tidak wujud ketika Akta tersebut digubal.

"Kami di KKMM terbuka untuk menerima apa-apa cadangan dalam memperbaiki bukan sahaja Akta dibahaskan pagi tadi, malah, semua undangundang di bawah pengawasan KKMM supaya bersesuaian dengan kehendak semasa," katanya lagi.

Sumber: Astro Awani