Penampilan terbaru penerbit, pengarah dan pelakon, Michael Ang yang semakin langsing mengejutkan ramai peminat.

Menerusi foto terkini yang dimuat naik oleh Michael di laman Instagram, sutradara drama bersiri Sweet Dreams itu berkongsi gambar terbaru keadaan dirinya.

"Salam semua. Okay I think my losing weight thingy is getting out of hand. I need to gain back! I don't like how I look now! Love you all and stay safe!" tulis Micahel di ruangan kapsyen.

Di ruangan komen, rata-rata peminat terkejut dengan penampilan baru Michael yang telah hilang sebanyak 52 kilogram (kg) selepas menjalani pembedahan bariatric sleeve pada tahun 2018.

Pembedahan terbabit memotong 85 peratus perut dan dikeluarkan melalui lubang kecil yang ditebuk pada perut.

Ia menyebabkan makanan hanya boleh diambil dalam kuantiti kecil dan memberikan manfaat daripada sudut kesihatan termasuk mengatasi penyakit diabetes, sakit sendi dan sakit belakang.

Kaedah ini antara kaedah paling selamat untuk mengatasi masalah berat badan berlebihan dengan kesan kegemukan ketara atau obesiti.

"Dulu berat saya 128 kg, kini berat badan saya 76 kg. Semenjak melakukan pembedahan terbabit, berat badan saya mula turun secara perlahan-lahan.

"Sebenarnya, saya suka dengan berat badan saya yang dahulu. Saya tak kisah dengan keadaan badan yang agak gempal tetapi ketika itu saya mempunyai penyakit.

"Saya ada penyakit diabetes dan 'sleep apnea'. Doktor memberikan dua cara untuk mengatasi masalah terbabit. Pertama, saya harus berdiet atau kedua, saya harus melakukan pembedahan itu.

"Dua tahun sebelum dibedah, saya sudah mencuba untuk mengamalkan diet tetapi sering gagal. Saya berjaya turun 5 atau 6 kg, tetapi selepas itu badan saya menghadapi kesukaran untuk menurunkan lagi bilangan berat.

"Akhirnya, saya membuat pembedahan terbabit. Hasilnya, saya tidak mengalami diabetes lagi, saya senang bangun pagi, rasa segar dan nafas saya tak mengah seperti dulu.

"Cuma, saya hanya boleh makan dalam kuantiti yang sedikit sahaja," kata Michael ketika dihubungi oleh Gempak.

Salam semua. Ok i think my losing weight thingy is getting out of hand. I need to gain back! I don't like how i look now! ???? luv u all and stay safe!

A post shared by Michael Ang (@michaelang38) on


Namun begitu, pelakon telefilem Titi Kayu ini mengakui risau dengan penampilannya yang kelihatan kurus.

"Bila orang tegur, mereka berkata mengenai penampilan saya, Sejujurnya, saya sendiri pun rasa tak nak nampak kurus sangat.

"Sebab, saya sendiri rasa saya 'buruk' apabila saya kurus sangat. Apa yang penting, saya sudah semakin sihat. Saya juga bersyukur kerana proses 'pengecilan' badan saya ini tidak membuatkan kulit saya menjadi menggelebeh," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Michael kini sibuk di set penggambaran drama bersiri Perempuan Tanpa Dosa lakonan Uqasha Senrose, Kamal Adli, Uyaina Arshad dan Yusuf Bahrin.

Bakal bersiaran di slot Megadrama Oktober nanti, naskhah terbabit akan ditayangkan sebanyak 28 episod.