Kumpulan Bahiyya Haneesa kini tampil dengan lagu terbaru berjudul Percaya.

Menurut anggotanya, Bonn, lagu ini mengetengahkan mesej berkaitan pemerkasaan wanita.

“Sesuai dengan tajuk lagu, Bahiyya Haneesa ingin semua wanita diluar sana untuk percaya pada diri sendiri, percaya bahawa setiap halangan yang dilalui akhirnya akan memberikan hasil yang diingini.

"Kita semua tahu tiada apa yang senang dalam dunia ini, semuanya perlukan usaha dan bila gagal, jangan pernah sekali pun kita putus asa. Jadikanlah kegagalan itu penguat semangat untuk kita terus bergerak ke hadapan dan berjaya.

"Paling penting, wanita perlu memberi sokongan antara satu sama lain kerana wanita adalah inspirasi dan semua wanita layak dihargai tanpa mengira siapa pun mereka," katanya.

Menyentuh mengenai aspek teknikal pula,Bagi mereka, ketelitian serta ketepatan setiap baris nyanyian perlu dilunaskan dengan sebaiknya.

Apatah lagi, lagu Percaya ini disulami dengan melodi yang sudah cukup kuat, mereka harus setarakan nyanyian seiring kekuatan rentaknya juga.

“Untuk rakaman Percaya, kali ini agak mencabar kerana lebih banyak pembahagian suara dan harmoni yang kami perlu dilakukan.

"Kami menghabiskan lebih kurang 18 jam dalam studio untuk memastikan ia betul-betul sempurna agar semua orang berpuas hati dengan lagu ini.

"Untuk pembahagian suara, kami lakukan bersama kerana kami ingin memastikan bahagian solo yang dinyanyikan sesuai dengan suara kami. Meskipun pembikinannya tidak dinafikan agak sukar dan mencabar tetapi ia benar-benar berbaloi.

"Kami berjaya masukkan banyak elemen termasuk bahagian rancak, tinggi,
rendah, bahagian rap dan campuran bahasa. Kami berganding bahu membantu satu sama lain untuk memberikan yang terbaik” kata mereka.

Kumpulan accapella serba berbakat ini terdiri daripada 8 mahasiswi Universiti Malaya yang dianggotai oleh Afi, Bella, Bonn, Fatin, Nina, Syasya, Suha & Wafa. Mulanya tampil sebagai kumpulan nasyid, mereka kini semakin terbuka mencuba muzik yang lebih versatil dan pelbagai termasuk pop serta rap.

Lagu Percaya boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify. Youtube & Youtube Music.