Penyanyi Sarah Fazny mengakui rezekinya untuk dikenali dalam bidang nyanyian masih belum tiba.

Hampir enam tahun melibatkan diri dalam industri seni, Sarah tidak akan pernah berhenti mencuba dan berusaha.

"Saya mula menyertai Mentor Legend pada 2014, Duo Star pada 2016, D' Academy Asia pada 2018 dan saya juga pernah keluarkan single. Setiap hari adalah proses pembelajaran untuk saya dan saya tak akan berhenti belajar.

"Saya masih belum benar-benar dikenali dan itulah realiti pahit yang perlu saya hadapi. Orang kata saya ada bakat tapi masa untuk saya menyerlah itu belum tiba lagi. Rezeki masih belum lekat," katanya.

Enggan berputus asa, Sarah mahu terus mencuba menaikkan namanya kerana minat.

"Saya tak mahu berhenti kerana bidang nyanyian merupakan 'passion' saya. Saya memang minat menyanyi dan usaha saya tak akan berhenti setakat ini.

"Saya bukanlah dari keluarga yang senang. Kadang-kadang, saya harus menghadiri acara dan tidak berbayar pun. Tapi sebagai penyanyi, saya harus sentiasa menjaga penampilan.

"Saya juga pernah buat persembahan yang tak berbayar, ekspo-ekspo kecil kerana minat. Bila saya berada di atas pentas dan menghiburkan orang, saya rasa puas.

"Jadi, saya mahu terus belajar. Saya mahu terus menjaga nama dan tak mahu naik kerana kontroversi. Keluarga pun memberikan sokongan dan saya tak akan berhenti berusaha," katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Sarah kini muncul dengan single terbaru duet bersama Awi Rafael berjudul Ayuh Kita Merdeka.