Pelawak, penyanyi dan pelakon Zizan Razak menyatakan dia tidak mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

Jelas Zizan, dia ingin memberi tumpuan kepada keluarga terutamanya terhadap nenek yang sedang terlantar sakit.

"Buat masa ini, saya tak fikir mengenai kahwin atau apa sahaja ke arah jodoh. Saya tiada masalah mengenainya kerana banyak perkara lain yang lebih penting untuk diberikan perhatian.

"Saya menjaga ibu dan keluarga saya. Ditambah pula keadaan nenek sedang sakit, jadi ia agak merisaukan.

"Saya sudah kembali sibuk dengan kerja, nenek pula dalam keadaan uzur. Saya bimbang tidak dapat pulang ke kampung jika berlaku apa-apa kerana tidak mahu menyusahkan produksi," katanya kepada Gempak.

Pelakon filem Polis Evo 3 itu mengakui emosinya terganggu disebabkan belum mendapat rehat secukupnya sejak pulang dari Dungun pada minggu lalu.

"Emosi saya sedikit terganggu kerana kesibukan kerja dan memikirkan keadaan nenek. Saya mendapat berita nenek sakit pada jam 2 pagi dan ketika itu saya pula baru pulang penggambaran ‘The Masked Singer Malaysia’.

"Saya terus bersiap pulang ke Dungun dan tiba jam 9 pagi. Nenek bukan sakit biasa, doktor mengesyaki nenek menghidap kanser. Setakat ini, belum dapat dipastikan kerana mereka masih melakukan ujian.

"Jika soal lain saya tak kisah, tetapi apabila membabitkan nenek, hati saya berkecamuk. Nenek pula bukan sakit biasa seperti demam yang diberi ubat boleh sembuh.

"Dia pun sudah berusia lebih 80 tahun, ia menambahkan kerisauan saya dan keluarga. Saya langsung tak tidur dan sejujurnya, saya tidak mendapat rehat yang cukup selepas pulang dari kampung," katanya dengan wajah sugul.

Bismillahiramanirrahim dan Assalamualaikum buat semua. Zizan memohon pada semua doakan kesejahteraan nenek Zizan semoga pulih dan sembuh secepat mungkin. Amin.

A post shared by Z I Z A N R A Z A K (@zizanrazak869) on


Dalam pada itu, pemilik nama Mohd Razizan Abdul Razak menyatakan terdapat segelintir pihak yang tidak faham dengan situasi yang sedang dialami sekarang.

"Nak tak nak, saya terpaksa memujuk hati sendiri. Ada kala, saya penat memikirkan bila orang nak faham keadaan saya.

"Bagaimanapun, saya cuba sedaya upaya kuat untuk diri sendiri. Orang ingat bila bergelar seorang pelawak, saya boleh bergurau setiap masa. Jadi, saya harap semua faham kenapa hari ini saya tidak berapa okay," katanya lagi.

Zizan ditemui pada majlis pelancaran program terbaharu Astro Warna, ‘The Masked Singer Malaysia’ di De.Wan, The Linc, Kuala Lumpur.

Zizan bersama Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Nabila Huda, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak diberi penghormatan untuk menduduki kerusi juri tetap.

Manakala, Datuk AC Mizal yang merupakan pengacara tersohor menggalas tugas sebagai hos.

Siapakah mereka di sebalik kostum ini? Mungkinkah mereka ini artis dan selebriti kegemaran anda?

Saksikan program yang bakal mencetuskan fenomena ini di Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) mulai 18 September 2020, setiap Jumaat, jam 9 malam!

Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

BACA: Bawa 'Hallyu Wave', Astro Warna Saji 'The Masked Singer Malaysia’ Untuk Penonton

BACA: "Bukan Gimik Hanya Sebahagian 'Teaser' ..." - Nabila Huda Beri Penjelasan Tentang Video Nangis Di Instagram