Pihak Astro khususnya seluruh warga produksi Big Stage 2020 cukup terkesan dengan khabar duka dengan pemergian Allahyarhamah Sandra Dianne yang menghembuskan nafas terakhir awal pagi.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, pemergian arwah Sandra merupakan sebuah kehilangan yang besar buat mereka.

“Sebagai tanda penghormatan terakhir, pihak Astro mengambil keputusan untuk tidak meneruskan Konsert Big Stage 2020 minggu kelima pada Ahad ini seperti kebiasaan sebaliknya bakal mengadakan sebuah konsert tribute istimewa berjudul #SandraDalamKenangan bagi mengenang arwah dan penglibatan beliau dalam industri seni tanahair terutamanya sepanjang pertandingan Big Stage 2020 berlangsung.

“Selain itu, pihak Astro juga akan turut membantu daripada aspek pengurusan termasuklah membiayai kos penghantaran pulang jenazah ke Sabah dan menghulurkan sumbangan ikhlas bagi meringankan beban keluarga.

“Kami juga turut mempunyai perancangan untuk mengadakan majlis tahlil buat arwah dalam masa yang terdekat,” ujarnya menerusi satu kenyataan yang dihantar kepada Gempak.

Pihak Astro sekali lagi ingin mengucapkan salam takziah dengan pemergian arwah Sandra yang pastinya akan meninggalkan kesan yang sangat mendalam ke atas seluruh keluarga dan para peminat.

Seluruh warga Astro dan produksi Big Stage turut sama mendoakan agar segala urusan penyempurnaan terakhirnya dipermudahkan.

BACA: Bintang Big Stage 2020 Sandra Dianne Meninggal Dunia