Pelakon Farah Nabilah, 28, menyatakan kali terakhir dia berjumpa dengan Bintang Big Stage 2020, Sandra Dianne pada majlis perkahwinannya.

Ketika dihubungi Gempak, Farah berkata Sandra adalah sepupunya dan dia tidak berpeluang untuk melawat sepanjang arwah mendapat rawatan di Hospital Putrajaya.

"Kali terakhir jumpa masa hari pernikahan saya. Lepas tu dia balik Sabah. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia tersangkut dekat sana.

"Saya tak dapat melawat dia dekat Unit Rawatan Rapi (ICU). Hanya ibu bapa dia sahaja yang dibenarkan masuk ICU.

"Jadi saya cuma dapat gambar dan perkembangan arwah dari group WhatsApp keluarga," katanya.

Tambah pelakon drama Cik Reen dan Encik Ngok Ngek mendedahkan dia sempat menitipkan kata-kata semangat untuk pelantun lagu Ku Tak Mahu Cinta itu berjuang di pentas Big Stage.

"Kami sempat berbual masa dia mula masuk Big Stage. Saya cakap dekat dia semoga berjaya.

"Kami sempat berbual melalui Instagram (IG) sahaja. Tu kali terakhir," katanya lagi.

Sandra Dianne telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira pukul 1 pagi tadi setelah enam hari bertarung nyawa akibat kemalangan.

BACA: Bintang Big Stage 2020 Sandra Dianne Meninggal Dunia

Pada Sabtu lalu, Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria, 26, terlibat dalam satu kemalangan kereta di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) ketika menuju ke Putrajaya International Convention Centre (PICC) bagi tujuan rehersal.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta yang berada di depannya berhenti secara mengejut.

Sandra mendapat rawatan di ICU dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sejak Sabtu.