Dua bintang Big Stage 2020 (BS2020) Nana Sheme dan Hafiz Zainal diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada konsert suku akhir BS2020 sebentar tadi.

Bagi juri tetap Faizal Tahir, mereka memilih untuk menggunakan imuniti terakhir bagi menyelamatkan Dinie Rashid adalah kerana mahu semua lapan peserta mara ke peringkat separuh akhir tetapi salah percaturan.

“Firasat kami sebenarnya Nana dan Hafiz akan terselamat kerana mereka mempunyai undian online yang kuat.

“Sebab tu kamu pilih selamatkan Dinie sebab kami sangka Nana dan Hafiz akan masuk ke konsert separuh akhir. Tekaan kami salah,” kata Faizal kepada Gempak.

Barisan juri tetap ditemui semasa majlis sidang media konsert suku akhir BS2020 yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada Ahad.

Bagi Hafiz dan Nana, mereka berdua sudah menjangkakan akan ada dua penyingkiran pada konsert suku akhir.

“Kalau ikut musim terdahulu, final memang lima orang. Sekarang ada lapan peserta, sekurangnya tiga orang akan tersingkir. Kami berdua di suku akhir dan mungkin seorang akan tersingkir pada separuh akhir,” jelas Hafiz.

Bagi Nana, dia berasa lega, gembira dan berpuas hati apabila telah melakukan persembahan yang terbaik walaupun langkahnya terhenti di konsert suku akhir.

“Ingatan juri pada kita itu lebih bermakna. Bila kita tersingkir, kita dengar pulak juri beri pujian, itu tanda kita keluar dengan bermaruah. Ini bukan pengakhiran buat kami berdua,” ujar Nana lagi.

Undi peserta kegemaran secara online menerusi laman rasmi di www.gempak.com/bigstage serta menerusi aplikasi SYOK.

Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.

Bigstage 2020 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos 2020, jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Big Stage 2020 ditaja oleh Adabi dengan kerjasama Kinohimitsu selaku penaja bersama.