Penyanyi Bella Astillah yang berhadapan dengan beberapa ujian semenjak kebelakangan ini bersyukur kerana ramai pihak yang mendoakan perkara yang baik-baik untuk dia dan suami, penyanyi Aliff Aziz.

Tidak bertemu dengan suami semenjak Mac lalu dan bersalin anak kedua tanpa kehadiran Aliff kerana larangan rentas sempadan negara, Bella berterusan diuji apabila Aliff dipenjara dua minggu selepas didapati bersalah mencuri dan berkelakuan tidak senonoh.

"Alhamdulillah, ramai yang mendoakan kami. Saya rasa sangat bersyukur dapat sokongan netizen.

"Tapi, ada juga yang kata Aliff buat hal dan tak serik buat silap banyak kali. Sebenarnya, hukuman penjara terbabit bukanlah membabitkan kejadian terbaharu.

"Ia merupakan susulan kes yang terjadi pada tahun lepas. Aliff tak melarikan diri, dia mengakui kesilapan dan mengikut perintah kerajaan Singapura.

"Bagi saya, Aliff dah dapat balasan di dunia, dia pun dalam proses untuk memperbaiki diri. Saya sering menitipkan pesan supaya dia terus kuat. Sebagai seorang lelaki, dia kena mengaku silap," katanya.

BACA: Aliff Aziz Dipenjara Dua Minggu, Denda Mencuri & Kelakuan Tidak Sopan

https://gempak.com/artikel/41531/aliff-aziz-dipenjara-dua-minggu-denda-mencuri-kelakuan-tidak-sopan



Menurut Bella, Aliff yang selesai menjalani hukuman pada Ahad lalu sangat dirindui oleh anak sulung mereka, Ayden Adrean.



"Bayangkan, sepanjang kami tidak bertemu semenjak Mac, Aliff selalu membuat panggilan video untuk bercakap dengan Ayden. Satu hari sampai lima ke enam kali jika dia berkelapangan.

"Apabila Aliff menjalani hukuman, Ayden tertanya dimanakah bapanya, kenapa bapanya tak membuat panggilan video? Saya sendiri tak tahu nak jawab apa. Saya hanya katakan Aliff sedang sibuk.

"Pernah sekali tu, Ayden menangis kerana rindukan Aliff. Saya hanya tenangkan dia dan mengatakan Aliff sedang bekerja," katanya lagi.

Bella ditemui di karnival Havoc Food Festival 3.0 di Stadium Shah Alam pada Sabtu.

Menjual laksa hasil air tangan sendiri di karnival terbabit, Bella memberitahu dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengembangkan perniagaan itu.

"Saya seronok meniaga. Penganjur merupakan rakan saya dan ini kali ketiga saya sertai karnival makanan Havoc ini.

"Saya tak ada perancangan nak kembangkan perniagaan kerana tak cukup masa. Saya risau tak boleh fokus nanti. Macam karnival ini, ia hanya memerlukan masa selama tiga hari sahaja.

"Saya puas melihat orang datang dan merasai sendiri air tangan saya. Insya-Allah jika ada siri lain karnival ini, saya akan turut serta lagi," katanya.

Karnival Havoc Food Festival 3.0 mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam. Turut hadir pada majlis perasmian Havoc 3.0 adalah Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

Acara yang memberi peluang kepada barisan selebriti dan peniaga tempatan menjana pendapatan selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 menyaksikan pengunjung yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Instagram: @bellaastillah