VIRAL
Abang Meninggal Dunia Dalam Perjalanan Urusan Ziarah Arwah Nurly Sahirah
Hasrat pengantin baharu untuk menyantuni keluarga Allahyarham Nurly Sahirah Azman, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas bas di Gerik bulan lalu tidak kesampaian apabila terkorban dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, di Setiu, pada Rabu.
Adiknya, Wan Zainul Abidin Wan Abdul Halim, 33, berkata abangnya, Wan Hasbullah Wan Abdul Halim, 42, dalam perjalanan ke Besut untuk bertemu kumpulan penunggang motosikal dari Kedah bagi mengatur lawatan ziarah ke rumah keluarga arwah Nurly Sahirah.
"Mereka janji nak jumpa di Besut.Tujuan utama nak bincang perancangan untuk ziarah keluarga arwah Nurly. Tak sangka, dia pula pergi dulu," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, di sini, malam Rabu.
Menurutnya lagi, arwah yang tinggal di Jalan Tekukur di sini baru melangsungkan pernikahan pada Jumaat lalu iaitu pada tanggal 1 Muharam dan merancang mengadakan majlis kesyukuran perkahwinan pada September depan.
"Arwah pernah sebut nak buat kenduri untuk raikan perkahwinan, nak gabung sekali dengan sambutan bersama keluarga. Tapi semuanya tinggal kenangan," katanya.
Arwah meninggalkan seorang balu, Wan Nazirah Wan Pauzi, 37, serta tiga anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu berusia antara 9 hingga 13 tahun yang masih bersekolah di SMK Sultan Sulaiman dan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 (SKSS1) Kuala Terengganu.
Allahyarham yang juga merupakan Pengerusi JPKK Jalan Tekukur, seorang hafiz 30 juzuk al-Quran dan aktif menyertai pelbagai misi kemasyarakatan termasuk membantu membaiki pondok di Thailand serta program khatan dan korban.
Solat jenazah Wan Hasbullah diadakan di Masjid Khalifah di sini malam tadi dengan dihadiri lebih 2,000 jemaah, sebelum dikebumikan sekitar jam 10 malam.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan mangsa meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z1000 yang ditungganginya merempuh sebuah kereta yang sedang membelok ke simpang sebelah kanan dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi pada Rabu.
Must-Watch Video