Penyanyi Lan Solo tidak pernah menyangka perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan bersama isteri, Nur Sheila Hassim, kini berkembang dan lebih baik.

Lan berkata, di awal pembukaan Solo Borneo Mart (SBM) pada hujung September tahun lalu dia dan isteri hanya membawa bilangan barangan runcit yang sangat terhad.

Bagaimanapun, selepas satu tahun, SBM yang membekalkan barangan runcit dari Sabah dan Sarawak semakin maju dan diterima ramai.

Bekas vokalis kumpulan Kristal itu ketika dihubungi Gempak berkata, hari ini, 30 September 2020 genap setahun SBM beroperasi.

“Tak pernah kami membayangkan akan menggunakan kontena untuk perniagaan ini. bisnes kami. Masa mula-mula buka dulu kami hanya bawa enamb botol kicap, lima paket kecil kopi Tenom, tiga botol jeruk bambangan dan lima bungkus mee dari Sabah.

“Selepas itu kami tambah pula barangan dari Sarawak, juga dalam kuantiti yang kecil, tapi hari ini Allah izinkan sebegini jauh perjalanan kami.

“Tak mudah untuk kami kerana awal-awal dulu ‘koyak’ juga bila orang kata saya dah tak laku sebab tu jual ikan masin, buka kedai runcit.

“Ada juga yang kata kerja kedai runcit ni tak sesuai dengan status ‘artis’. Tapi…Allah itu sebaik-baik perancang,” katanya sebak.

Bagaimanapun kata Lan, isterinya Sheila banyak mendorongnya untuk terus bertahan sehingga ke hari ini.

“Isterilah yang banyak beri sokongan walaupun ada cakap-cakap belakang. Saya dan isteri berusaha untuk fahamkan pelanggan mengapa harga di SBM tak sama seperti di Sabah dan Sarawak.

“Kami educate mereka mengenai kos dan sebagainya dan akhirnya pelanggan mula memahami dan mula menerima SBM,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, dia akan terus berusaha memajukan SBM dan akan melakukan penambahbaikan dari hari ke hari.

“Biarlah orang kata bergelumang dengan ikan masin, ikan bilis, udang kering ni tak glamor, saya akan tetus berusaha sampailah semua barangan runcit ada di SBM.

“Saya akan pastikan pengorbanan kami selama ini berbaloi. Kami korbankan masa dengan anak-anak, kawan-kawan sebab nak fokus kepada bisnes.
.
“Kena tipu, kena sailang itu semua pengalaman. Yang penting saya kena terus kental dan sabar serta belajar setiap hari,” katanya positif.