Kumpulan Dolla tidak ambil pusing kritikan netizen terhadap penampilan seksi mereka dalam video muzik Make You Wanna.

Dolla ketika ditemui Gempak berkata, imej seksi bukan baru atau sengaja dicipta selepas bergelar artis rakam, tetapi realitinya mereka memang begitu.

"Tak dinafikan, keluarga terutama ibu bapa pun ada nasihatkan supaya tidak terlalu seksi. Tapi, kami dah terbiasa seksi sejak belajar di luar negara dahulu.

“Kami sedar ada netizen yang kurang senang dengan imej Dolla dalam video muzik tersebut. Tetapi kami jadikannya sebagai nasihat positif.

“Kami masih dalam proses pembelajaran dan akan perbaiki pada masa akan datang,” kata Dolla dianggotai Sabrina atau Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya.

Sementara itu Sabronzo berkata, seksi atau tidak terpulang kepada pendapat masing-masing kerana ada juga warganet berpendapat penampilan tersebut bersesuaian dengan konsep video muzik mereka.

"Ada orang kata seksi, ada orang kata biasa sahaja. Terserah kepada pandangan masing-masing. Dolla masih dalam proses belajar dan soal terlalu seksi dalam video muzik Make You Wanna itu adalah keputusan bersama.

"Sebelum muncul dengan konsep tersebut kami sudah berbincang dengan syarikat rakaman dan keputusan diambil selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat,” katanya.

Mengulas mengenai Dolla masih kurang dikenali, Syasya tidak menafikan kenyataan tersebut kerana lagu Make You Wanna dilancarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

“Betul, ramai yang masih belum sedar kewujudan Dolla, tetapi kami bersyukur kerana lagu Make You Wanna selalu dimainkan di radio dan masih bertahan dalam carta lagu popular.

“Tak mengapa jika Dolla ambil masa sedikit untuk dikenali kerana lagu pertama kami Make You Wanna pun dilancarkan secara dalam talian (online) masa PKP hari tu,” katanya.

Tambah Syasya Dolla akan muncul dengan single kedua berjudul Impikan pada hujung Oktober ini.

Dalam perkembangan lain video muzik lagu Make You Wanna yang diterbitkan Universal Music sudah mencatat hampir 1.8 juta tontonan di YouTube sejak dimuat naik pada Mac lalu.