Pemenang tempat ketiga Big Stage 2020 (BS2020) Qody Rany mengakui dia sudah berkahwin dan tidak mahu menonjolkan isteri dan keluarganya di laman sosial.

Menurut pemilik nama sebenar Rossaidi Abdul Rani, 26, dia memilih untuk menghormati permintaan isterinya yang tidak mahu dikenali ramai.

“Ya betul saya kini bergelar seorang suami tetapi untuk melibatkan atau menonjolkan dia, isteri saya sendiri tidak mahu dan saya menghormati permintaan dia.

“Dia ada beritahu kalau boleh nak jadi macam isteri Datuk Rosyam Noor, yang sentiasa memberikan sokongan pada suami secara belakang tabir. Yang bekerja adalah saya jadi biar saya seorang sahaja yang dikenali.

“Bukan sahaja isteri, malah keluarga pun saya jarang pamerkan di laman sosial sebab saya tak mahu apa benda yang saya tersalah buat, tempias tu terkena pada keluarga saya,” jelas Qody Kepada Gempak.



Qody ditemui semasa sidang media konsert akhir BS2020 yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada Ahad.

Tambah Qody lagi, dia tidak risau jika statusnya sebagai suami membuatkan dia hilang populariti daripada para peminat sebaliknya menggangap perkara itu sebagai pembuka rezeki.

“Minda masyarakat kita dah terbuka sebenarnya. Tidak semestinya kita berkahwin atau sudah berpunya, orang tak boleh meminati kita. Yang kita jual adalah bakat dan bukannya kisah peribadi.

“Saya terima banyak mesej-mesej wanita di Instagram tetapi semuanya saya layan sebagai peminat.

“Kalau ada mesej yang lebih-lebih sangat pun, saya akan tunjuk pada isteri.

“Saya dapat berada di Big Stage 2020 ni pun menumpang rezeki isteri sebab saya memang tunggu peluang masuk pertandingan ni dah lama dan baru tahun ni dapat,” katanya lagi.

Qody mendirikan rumah tangga dengan Nurul Atiqah Mohd Fuad pada 5 Mac yang lalu di Pulau Langkawi, Kedah.

Pada konsert akhir BS2020 yang berlangsung pada Ahad lalu menyaksikan Azzam Sham dinobatkan dinobatkan sebagai juara.

Usop mendapat naib juara dan Qody Rany berada di kedudukan ketiga.

Dinie Rashid dan Fadh Majid pula masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.