SUKAN
Lee Chong Wei Terima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri, Bawa Gelaran Datuk Seri - "Walau Saya Dah Lama Bersara..."
Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, hari ini menerima kurnia Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Ia bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-84 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib, yang disampaikan sejak tiga hari lalu.
"Terima kasih atas kurniaan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) daripada Tuan Yang Terutama, Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib, Yang di-Pertua Negeri Pulang Pinang, sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulang Pinang bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-84 Yang Dipertua Negeri.
"Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Pulang Pinang atas pengiktirafan yang amat bermakna ini.
"Walaupun saya telah lama bersara dari gelanggang, semangat Malaysia terutamanya Pulau Pinang sentiasa saya bawa ke mana sahaja saya pergi.
"Gelaran ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua yang telah menyokong saya sepanjang perjalanan ini," tulisnya menerusi hantaran Instagram Stories.
Anak jati Pulau Pinang itu telah mengharumkan nama negara dengan menduduki takhta nombor satu dunia selama 349 minggu, termasuk 199 minggu berturut-turut (2008–2012) dalam sejarah badminton termasuk muncul sebagai atlet Malaysia paling berjaya dalam Sukan Olimpik menerusi tiga pingat perak dalam tiga temasya.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pula menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang turut membawa gelaran Datuk Seri.
Selain itu, Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias, antara yang menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa kepada gelaran Datuk.
Must-Watch Video