Pelakon Mona Allen berkongsi tentang watak yang mahu dicuba dalam lakonannya.

Menurut isteri kepada aktor Pekin Ibrahim ini, salah satu watak yang diinginkan adalah seorang gadis berpewatakan lelaki atau lebih dikenali sebagai pengkid.

"Antara watak yang saya ingin cuba dalam lakonan saya adalah gadis pengkid.

"Baru-baru ini, saya ada cuba buat watak pengkid dalam sebuah parodi, tiba-tiba saya rasa suka dengan watak itu dan teringin mencubanya dalam lakonan saya jika berpeluang.

"Selepas ini kalau ada pihak produksi menawarkan watak pengkid, Insya-Allah saya akan terima," katanya kepada Gempak.

Tambah Mona, dia juga merasakan watak gadis pengkid mampu mencabar kebolehan dirinya sebagai seorang pelakon.

"Watak seperti ini sangat bertentangan dengan diri saya yang sebenar, sebab itu saya mahu mencubanya kerana ia akan mencabar kebolehan saya," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Mona kini membintangi drama bersiri arahan Sabri Yunus berjudul Tanya Sama Pokok.

Tanya Sama Pokok ditayangkan pada setiap Isnin, jam 9.00 malam di Astro Warna (saluran 127) dan Warna HD (saluran 107).

Selain Mona, Tanya Sama Pokok turut menampilkan barisan pelakon terkenal lain seperti Datuk Fizz Fairuz, Sara Ali, Sabri Yunus sendiri, Angeline Tan dan ramai lagi.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!