Baru dua hari ditayangkan di Astro First, filem pertama arahan YouTuber, Syahmi Sazli iaitu Mael Totey The Movie (MTTM) telah menjadi perbualan ramai.

Malah, ada dalam kalangan mereka menganggap MTTM sebagai satu fenomena luar biasa kerana berjaya meraih kutipan mencecah RM700,000 selepas hari pertama tayangan.

BACA:Mael Totey The Movie Tunjuk Taring! Kutipan Cecah RM700,000 Hari Pertama Tayangan!

Namun, dalam pada ramai yang rancak melanggan MTTM menerusi saluran Astro First, masih ada segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan menontonnya secara haram.

Menerusi pemantauan Gempak di beberapa posting Instagram Syahmi, ada netizen yang secara berani mengaku menontonnya di saluran tidak sah.

Namun, apa yang peliknya ramai juga yang meminta maaf selepas menonton filem tersebut.

Berkemungkinan mereka ‘tersentak’ dengan beberapa dialog Syahmi mengenai sikap penonton yang suka menyokong cetak rompak.

“Saya mohon maaf dan minta halal jika tengok yang cetak rompak. Kalau perlu bayar saya boleh bayar kerana kualiti cerita sangat baik, ikhlas dari saya,” kata seorang pengguna Instagram menerusi ruang komen.

“Rasa bersalah dan menyesal terutama filem ini penuh pengajaran dan unsur dakwah.

“Saya dengan rasa rendah diri menyesali perbuatan mohon produksi Syahmi Sazli,” kata seorang lagi individu.

Tidak melatah dengan permohonan maaf tersebut, Syahmi sebaliknya menasihatkan orang ramai supaya tidak mengikuti perbuatan tersebut.

“Kalau saya halalkan, nanti akan jadi ikutan ramai. Abang kena hormati saya dan krew berpanas selama 14 hari. Setidak-tidaknya abang kesianlah empat orang istimewa tu.

“Tak apa abang boleh langgan Astro yang sah,” katanya.




Buat anda semua, marilah sokong karya anak muda yang cuba mengubah landskap filem tanah air ini.

Tonton dahulu dan lihat bagaimana pengarahnya, Syahmi Sazli mengangkat martabat Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam filem ini.

Sebab itulah ramai yang serba salah selepas menonton MTTM secara haram.

Untuk rekod, MTTM mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya.

Tetapi Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya. Konflik antara Mael, cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.

Ingin mengetahui apa yang akan terjadi seterusnya, saksikan filem Mael Totey The Movie yang akan berada di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 mulai 22 Oktober ini.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Mari kita semua sokong usaha pengkarya seni dalam menghiburkan.