Pelakon Isa Khan menyatakan dia dan tunangnya, Risteena Munim, 31, masih belum membuat keputusan sama ada meneruskan majlis perkahwinan mereka atau tidak.

Kata Isa, 27, majlis tersebut sepatutnya diadakan pada November ini namun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilanjutkan lagi.

"Memang plan asal sekitar bulan November tetapi sekarang PKPB jadi kita tak tahu sama ada boleh teruskan atau tidak.

"Kemungkinan besar kita kena tunda. Nak tunda ke tarikh baru tu belum pasti lagi," katanya ketika dihubungi Gempak.

Tambah adik kepada bintang sinetron Indonesia, Miller Khan, dia dan Risteena hanya merancang untuk melakukan majlis akad nikah yang hanya dihadiri tetamu terdekat.

"Sebenarnya memang plan kami untuk adakan majlis akad nikah saja tahun ini. Majlis resepsi mungkin awal tahun depan.

"Sebab kami nak buat gathering untuk keluarga, kawan dan rakan media tapi dalam kuantiti yang sikit.

"Tapi itu pun tidak dibenarkan. Kami pun tak pasti lagi macam mana, nak kena tengok keadaan COVID-19.

"Belum pasti lagi sama ada nak tunda semuanya ke tahun hadapan atau tidak," katanya lagi.

Isa dan Risteena telah selamat mengikat tali pertunangan pada 23 November lalu ketika bercuti di Bali, Indonesia.

Sebelum ini, hubungan mereka sudah dihidu umum, namun masing-masing mengunci mulut sebelum mengesahkan status perhubungan menerusi satu sidang media pada 6 Disember tahun lalu.

BACA: Risteena Munim, Isa Khan Kahwin Tahun Ini