Penyanyi Elizabeth Tan terkilan dengan pengeluar baju jenamanya yang gagal meletakkan label sebelum dijual kepada pembeli.

Kecuaian tidak menyemak kualiti jenama pakaian tersebut membuatkan pelantun lagu Knock Knock itu rasa bersalah hingga menitiskan air mata.

"Sekarang saya betul-betul kecewa selepas sedar pihak itu tak letak tag jenama di bawah baju. Ia sepatutnya ada tag.

"Dia janji nak QC (kawalan kualiti) dan dah janji kat saya untuk QC semua. Saya bayar dia banyak... modal saya bukan sikit," katanya.

Justeru, Elizabeth memohon maaf kepada pembeli yang mendapat produk yang tidak memuaskan hati dan berjanji akan memulangkan wang sekiranya perlu.

Namun, proses berkenaan perlu melalui laman sesawang e-dagang yang menjualkan pakaian jenamanya itu.

"Saya tak nak menangis... saya nak beritahu yang sesiapa mahukan refund, anda boleh mohon dan mereka akan memulangkannya bersama baucar tambahan.

"Saya minta maaf sangat kerana saya tidak betul-betul buat QC. Saya nak yang terbaik untuk anda tapi rupa-rupanya saya tersalah mempercayai orang lain.

"Saya minta maaf dan terima kasih sebab menyokong saya," ujarnya.

Susulan kes terbabit, netizen menasihati Elizabeth untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak tersebut.