Pelakon Ika Nabella, 31, mendedahkan anak lelakinya, Muhammad Noah Zayn telah didiagnosis penyakit karotenemia atau jaundis palsu iaitu salah satu jenis penyakit kuning.

Menurut Ika atau nama sebenarnya Ika Nabila Abdul Rahim, punca penyakit tersebut disebabkan pengambilan makanan karotin yang berlebihan seperti lobak merah.

"Makcik dan pakcik sila doakan @muhammadnoahzayn sihat sempurna. Dia kini didiagnosis sebagai bayi karotenemia atau orang selalu memanggil ‘bayi oren’ kerana pengambilan makanannya.

"Pengambilan makanan karotin yang berlebihan. Dia suka lobak merah sangat. Phewww. Salah Ibu," tulisnya di Instagram (IG).



Walaubagaimanapun, pelakon drama Sein Dan Luna menyatakan keadaan itu tidak merbahaya.

"Tapi jangan risau Noah baik-baik saja, keadaan ini tidak berbahaya cuma Mommy dan Ayah kena merawat perubahan warna kulitnya.

"Terlalu banyak pigmentasi kuning pada kulit dan peningkatan beta-karotin dalam darah.

"Sekarang! Tiada lagi lobak merah atau labu! Kita pergi hijau ok dan merah," tulisnya lagi.

Ika dan suami, Muhammad Zaid Aznam mendirikan rumah tangga pada 30 Julai 2016 dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan di Pulau Pinang.

Pasangan ini menerima cahaya mata lelaki pada 23 Otober 2019 di Gleneagles Hospital Kuala Lumpur.