Bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Hans Isaac memohon maaf kepada Datuk Seri Eizlan Yusof di atas kesilapannya mengaitkan dirinya dengan penyalahgunaan kuasa melibatkan syarikat produksi Excellent Pictures Sdn. Bhd.

Menurut Hans, sebaik sahaja dia menyedari kesilapan dalam mesej yang dihantar, dia ingin membuat pembetulan dengan segera namun dimaklumkan pihak Eizlan telah menghantar surat peguam.

“Untuk makluman, pada 16 November 2020, saya telah menghantar satu mesej di dalam Kumpulan WhatsApp Persatuan Penerbit Filem Malaysia di mana saya telah merakamkan ucapan tahniah kepada tiga buah syarikat yang telah dipilih untuk menerima Dana Kandungan Digital 2020 daripada FINAS, termasuk Excellent Pictures Sdn Bhd.

“Di dalam mesej tersebut, saya telah membuat kesilapan dengan mengaitkan Dato’ Seri Eizlan Yusof dan Excellent Pictures Sdn Bhd.

“Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf di atas kekhilafan saya.

“Saya telah menghubungi Dato’ Seri Eizlan Yusof melalui peguamcara saya untuk mengeluarkan kenyataan pembetulan berhubung dengan kesilapan ini,” jelasnya menerusi satu kenyataan yang dihantar kepada Gempak.

Tambah Hans lagi, dia tidak mahu perkara ini berpanjangan dan sekali lagi memohon maaf di atas kesilapan yang tidak disengajakan ini.

“Saya amat berharap agar kita dapat buang yang keruh, dan ambil yang jernih. Semoga kita dapat terus memajukan industri perfileman negara bersama,” ujarnya lagi.

Semalam Eizlan meluahkan rasa kecewa apabila Hans mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dan mencalarkan reputasinya.

BACA: Eizlan Yusof Ambil Tindakan Guaman Terhadap Hans Isaac – “Dakwaan Palsu Dia Calar Reputasi & Nama Baik Saya!

Menurut Eizlan, Imej, reputasinya selaku Ahli Perbadanan FINAS serta kredibiliti sebagai penggiat industri perfileman negara selama 20 tahun terkesan berikutan tuduhan terbabit.

Sehubungan dengan itu, Eizlan telah melantik peguamcara, Tetuan Shaharudinali Azfarazmi & Co dan tindakan guaman terhadap Hans Isaac sedang berjalan.