HIBURAN
"5 Tahun Jadi Ketua Juri, Tak Pernah Saya Reject Peserta Ujibakat Yang Tiada Rupa" - Sheila Rusly
Penerbit dan pelakon terkenal Sheila Rusly kurang bersetuju dengan kenyataan Datuk A. Aida yang mengenepikan peserta ujibakat yang tiada rupa.
Berkongsi pengalamannya sebagai ketua juri Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) selama lima tahun, tidak pernah sekalipun Sheila menolak peserta yang hadir untuk sesi ujibakat mentah-mentah.
"Sepanjang terbabit dengan siri jelajah DFKL, matlamat kita untuk mencari pelakon yang mempunyai pakej iaitu punyai bakat dan rupa.
"Tetapi saya tidak pernah menolak individu yang ada bakat tetapi rupa tidak menyebelah mereka (atau tiada pakej hero).
"Bagi yang punyai bakat saya akan masukkan mereka dalam agensi, kalau bukan untuk watak utama, mungkin juga watak pembantu suatu masa nanti.
"Saya kurang bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau. Itu kelihatan bias dan tidak seharusnya berlaku dalam industri kita.
"Kita tak boleh menilai bakat dan rupa seseorang sebaliknya perlu melihat kepada aspek kesungguhan. Nak jadi pelakon perlu ikhlas dan jujur," katanya kepada Gempak.
Meletakkan contoh Jay Iswazir yang diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2018 menerusi naskah Aku Nazmi, Sheila tidak menolak industri bakal berubah coraknya suatu masa nanti.
"Sama seperti teknologi, citarasa dan minat seseorang juga akan berubah.
"Tak mustahil suatu masa nanti penonton menginginkan hero yang tiada rupa yang kacak. Takkan ketika itu baru nak cari balik?
"Nasihat saya, jangan pandang rendah pada orang yang kurang daripada satu sudut sebab setiap manusia itu pasti ada kelebihan. Beri mereka peluang!" tambahnya.
Sheila juga akui ada menggunakan bakat baharu yang dicungkil daripada DFKL sebelum ini untuk membintangi beberapa dramanya termasuk Leftenan Zana.
Baru-baru ini penggiat industri hiburan tempatan meradang apabila terbit kenyataan produser yang mendahulukan peserta ujibakat yang memiliki rupa berbanding bakat untuk diangkat sebagai pelakon pelapis masa hadapan.
Must-Watch Video