HIBURAN
“Apa-apa Pun Kalau Suami Izinkan, Baru Senang Saya Nak Pergi Bekerja” – Hanez Suraya
Pelakon Hanez Suraya mengakui penglibatannya dalam dunia perniagaan dan bersetuju untuk menjadi duta kosmetik adalah kerana keizinan suami, Romie Razin.
Hanez turut berterima kasih kepada suami kerana membenarkan dia untuk aktif dalam bidang perniagaan.
“Suami adalah support system saya, kalau dia tak izinkan mungkin saya tak berjaya macam sekarang dan menjadi duta kepada Deeja Cosmetic.
“Jadi bila suami izinkan, saya pun senang untuk keluar bekerja,” katanya.
Bercakap mengenai dunia seni, Hanez memberitahu dia hanya akan kembali ke pentas jika mendapat keizinan suami.
Tambahan pula buat masa ini suami lebih senang melihat Hanez mengurus rumah tangga dan anak-anak di rumah.
“Suami tak izinkan saya kembali berlakon. Bukannya apa…komitmen untuk keluarga mungkin akan berkurangan sebab kita akan bekerja tidak tentu masa.
“Suami mahu saya mempunyai lebih masa di rumah uruskan keluarga. Suami saya memang makan di rumah dan kebanyakan masanya juga diluangkan di rumah.
“Jadi saya akan uruskan semuanya,” ujarnya.
Sementara itu suami Hanez, Romie berkata, dia seronok melihat Hanez berada di rumah bersama anak-anak dalam masa sama memberi sokongan penuh kepada isterinya berniaga.
“Saya seronok tengok dia (Hanez) layan anak-anak di rumah. Dalam pada itu saya bagi dia peluang untuk berniaga dan menyokong penuh apa yang dia buat sekarang.
“Dalam bidang perniagaan pula, saya memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Hanez,” katanya.
Sejak setahun lalu, Hanez dilantik sebagai duta Deeja Cosmetic dan yang terkini akan bersama-sama Deeja Jam Tour menjelajah seluruh Malaysia bermula 7 Disember ini.
Hanez Suraya dan Romie, berkahwin pada 25 Mac 2015 dan dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Putri Aleesya dan Putri Raleensya.