HIBURAN
"Mental & Fizikal Perlu Bersedia ..... " - Aedy Ashraf
Pelakon Aedy Ashraf akui mental dan fizikalnya perlu kuat untuk menjalani penggambaran drama 100 episod, Cinta Tiada Ganti.
Aedy atau nama sebenarnya Mohammed Addy Ashraf Rosmadi berkata bukan mudah untuk memberi komitmen untuk jangka masa yang panjang dalam sesebuah drama.
"Mental dan fizikal perlu bersedia dan kuat untuk menghabiskan penggambaran drama Cinta Tiada Ganti ini
"Berlakon untuk satu drama yang memakan masa panjang ini merupakan cabaran yang besar.
"Ia memerlukan komitmen yang tinggi daripada seorang pelakon untuk terus berada di dalam mood drama tersebut.
"Alhamdulillah untuk drama ini saya bekerjasama dengan kru produksi yang seronok. Hilang rasa penat apabila kita bekerja tanpa rasa tertekan," katanya kepada Gempak.
Menurut Aedy, buat masa ini penggambaran drama Cinta Tiada Ganti ini masih berbaki dua puluh peratus yang perlu diselesaikan.
Cinta Tiada Ganti merupakan adaptasi dari drama popular Filipina bertajuk Sana'y Wala Nang Wakas.
Drama bersiri Cinta Tiada Ganti bersiaran di Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 6:00 petang.
Menerusi drama Cinta Tiada Ganti arahan Feroz Kadir itu, Aedy memegang watak utama sebagai Mukhriz bersama pelakon gandingannya, Nelydia Senrose.
Selain Aedy, pelakon lain yang turut menjayakan drama tersebut adalah Hafidz Roshdi, Ben Amir, Sweet Qismina, Wan Sharmila, Octovia Manrose, Dian P Ramlee dan ramai lagi.
Must-Watch Video