HIBURAN
Nafi Caras, Hanez Suraya Tak Ada Masalah Dengan Sherry Ibrahim
Pelakon Hanez Suraya Abdul Aziz, 34, mengakui tiada masalah dengan aktres Sherry Ibrahim.
Wujud khabar angin yang mendakwa Hanez 'mencaras' tanggungjawab Sherry sebagai duta kepada produk kecantikan Deeja Cosmetic.
"Saya tak 'sailang' atau 'caras'. Itu rezeki saya dan saya menerimanya dengan hati terbuka. Pihak pengurusan mendekati saya dan saya anggap ia sebagai rezeki. Masing-masing ada rezeki sendiri dan sejujurnya, saya tiada masalah dengan Sherry.
"Saya dilantik sebagai duta dan sebelum ini pun, Sherry merupakan pengasas bersama Deeja Cosmetic, tetapi dia kini sudah tidak lagi bersama produk ini. Ketika Sherry masih bersama jenama ini, saya sudah mempromosikan ia selama setahun kerana saya memang menggunakannya," kata Hanez.
Hanez ditemui di majlis penyampaian hadiah cabutan bertuah 2018 Deeja Cosmetic baru-baru ini.
Tambah Hanez, dia menganggap tawaran menjadi duta jenama kosmetik ini sebagai satu tanggungjawab baru yang harus dilunaskan biarpun dia sedang sarat hamil.
"Saya anggap ini sebagai rezeki anak dalam kandungan. Saya gembira menjalankan tanggungjawab baru ini dan masih bertenaga biarpun hamil.
"Kandungan saya kini memasuki usia lima bulan dan saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar. Saya berharap segalanya dipermudahkan sehingga menuju tarikh bersalin kelak.
"Saya sangat bersyukur, biarpun wajah saya sudah lama tidak kelihatan di kaca televisyen kerana tidak berlakon semenjak berkahwin, saya tetap diberi kepercayaan untuk menjadi duta jenama ini," katanya lagi.
Hanez mendirikan rumah tangga dengan Romie Razin Adilha Abd Jais pada 25 Mac 2015 dan dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Puteri Aleesya.
Di majlis terbabit, Hanez menyampaikan hadiah seperti Perodua Axia, barang kemas, iPhone serta wang tunai kepada pengguna bertuah yang menyertai cabutan terbabit.