Sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tiba Sabtu lalu, hampir sebahagian penduduk di ibu kota mengambil keputusan untuk pulang ke kawasan mengundi masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara.

Begitupun, hal itu tidak menghalang kumpulan Exists untuk meneruskan penganjuran konsert mereka, Konsert Resolusi Exists pada malam 18 November lalu di Zepp Kuala Lumpur.



Dihadiri 1,000 penonton, kehadiran peminat tidak sia-sia memandangkan kumpulan legenda itu mendendangkan 20 buah lagu termasuk lagu-lagu popular mereka sepanjang zaman.

Tirai konsert dibuka oleh vokalis, Mamat atau nama sebenarnya, Mohd. Ali Kamarudin menerusi lagu-lagu yang diterbitkan sekitar 1991 hingga 1993 iaitu Anugerah, Sebelum Terlewat, Nota Di Lautan Sepi dan Terpaksa.

Mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan peminat dari atas pentas, Mamat berkata, dia berasa gembira dapat menunaikan janji mengadakan persembahan walaupun konsert mereka diadakan sehari sebelum PRU15.

“Saya nak ambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat yang hadir menyokong Exists. Konsert ini agak istimewa sebab esok kita akan turun mengundi,” kata Mamat.



Selepas Mamat membuka tirai persembahan, Eiz Gerilia mengambil alih pentas dan membawakan lagu Julia, yang pada asalnya dinyanyikan oleh vokalis Ezad Lazim.

Selain Eiz, naib juara Mentor 7, Pasya turut diundang untuk menyanyikan lagu-lagu Exists yang lain antaranya Seperti Dulu.

Wiz kembali menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi lagu Kapal Terbang Kerta dan seterusnya Mamat kembali menyanyikan lagu Janji Padamu.

Pasya sekali lagi memukau peminat yang hadir dengan mendendangkan dua lagu yang paling banyak diminta, Bunga dan Jesnita.

Kemudian, lagu-lagu lain yang turut didendangkan termasuklah Meniti Cita-Cita, Kuman HIV dan Kerana Cinta. Selain itu Janji Bidadari dan Masih Terserlah Ayumu turut disampaikan oleh mereka.

Lama menunggu, lagu ikonik Exists, Untukmu Ibu dan Rahsia Pohon Cemara turut dipersembahkan oleh Mamat. Wiz kemudian mengambil alih pentas dan menyanyikan lagu popular Exists, Mengintai Dari Tirai Kamar.

Pasya kemudiannya mendendangkan Percayakan Siti, dan dalam masa sama Eiz diberi kepercayaan untuk mendendangkan Mama Tolonglah Percaya sebelum mereka berdua menyanyikan lagu Alasanmu.



Hampir dua jam menghiburkan penonton, Konsert Resolusi Exists kemudian ditamatkan dengan lagu popular mereka, Langkah Seiringan.

Penganjuran Konsert Resolusi Exists membuktikan yang kumpulan tersebut masih relevan, dan karya-karya malar segar mereka tetap dihargai peminat.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!