Penyanyi Fara Hazel sedih apabila mendapat tahu 10 ahli keluarganya iaitu ibu bapa serta adik beradiknya disahkan positif Covid-19 sejak 27 Julai lalu.

Lebih menyedihkan dia dan adiknya yang juga penyanyi, Aiman Tino tidak dapat bersama membantu kerana masing-masing berjauhan dari keluarga mereka yang kini berada di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

“Saya memang sudah menetap di Terengganu, sudah lima bulan tidak berjumpa dengan keluarga. Aiman pula tinggal di Kuala Lumpur.

“Bila dapat tahu berita ini, saya amat terkejut malah kasihan kepada ibu bapa serta adik beradik yang lain kerana terpaksa menghadapi dugaan dan ujian ini.

“Meskipun jauh saya akan mengikuti perkembangan mereka setiap hari yang kini hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah,” katanya.

Fara berkongsi perkara tersebut selepas dihubungi Astro Gempak menerusi panggilan telefon.

10 ahli keluarga mereka yang dijangkiti wabah Covid-19 adalah ibunya, Hazelina Mat Jalil, bapanya, Yusri Ishak dan lima adik beradiknya yang berusia dari 6 tahun hingga 19 tahun. Serta seorang lagi keluarga akaknya, Nurfara Ain, 27, bersama suami dan seorang bayi yang baru berusia sebulan.

Kata Fara lagi, kesihatan ibunya merosot ketika permulaan dijangkiti Covid-19 kerana menghidap asma.

“Saya paling sedih sekali melihat adik-adik kecil saya yang terpaksa melakukan ujian calitan dihidung dan tekak. Nampak sangat menderita kerana mereka kecil lagi.

“Selain itu saya bimbang juga dengan keadaan mak yang menghidap asma, dia ada mengadu sesak nafas yang teruk serta perit ketika batuk.

“Begitu juga dengan ayah dan adik beradik lain yang demam panas pada mulanya dan ada sImptom batuk tapi Alhamdulilah selepas 10 hari keadaan mereka semakin pulih,” ceritanya lagi.

Tidak tahu dari mana puncanya, Fara cuma berharap agar semua ahli keluarganya segera sembuh dan dijauhi Covid-19.

“Saya diberitahu mereka sendiri pun tidak tahu dari mana punca dapat wabak itu kerana ayah ada demam panas selepas vaksin namun itu seminggu sebelum mereka disahkan positif Covid-19.

“Apa-apa pun saya cuma berharap mereka segera sembuh dan semua urusan dipermudahkan,” tambahnya lagi.