Acara pecut berbasikal trek sukan Olimpik Tokyo 2020 membuka tirainya hari ini. Tumpuan tentulah diberikan kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang bakal turun bersaing di Izu Velodrome, Shizuoka, Tokyo, Jepun.

Buat penggemar sukan berbasikal amnya dan khususnya kepada peminat atlet yang digelar The Pocket Rocketman, berikut sedikit usaha dan fakta yang dikumpulkan daripada BERNAMA mengenai beliau yang telah membuat persiapan bertahun lamanya untuk perlumbaan dalam temasya ini.

Semoga The Pocket Rocketman berjaya mengekalkan gelaran dan momentumnya dalam Olimpik Tokyo 2020.

Berikut 10 fakta mengenai Azizulhasni Awang;

1. Usai penyertaan di Olimpik Rio 2016 tiga tahun lalu, Azizulhasni telah menambah berat badannya sekitar 10 kilogram (kg), terutama jisim otot di bahagian bawah. Usaha itu dilakukan untuk meningkatkan kekuatannya sekali gus dapat mempengaruhi serta meningkatkan pecutan.

2. Untuk perlumbaan di temasya Tokyo 2020, beliau memakai pakaian lumba berteknologi tinggi yang dihasilkan daripada bahan terpilih dari lebih 40,000 kombinasi bahan, kelajuan dan ketegangan fabrik.

3. Pakaian lumba yang disifatkan sebagai senjata rahsia itu merupakan jenama Vorteq. Ia adalah sebahagian daripada projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM13 juta antara ISN dengan syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd.

4. Selain menggunakan bahan yang dipilih dalam penghasilan pakaian lumba itu juga telah melalui ujian terowong angin. Ia memerlukan bantuan tiga orang untuk menyarungkan pakaian tersebut di tubuh pelumba harapan negara ini.

5. Azizulhasni akan menggunakan basikal model WX-R Vorteq bernilai lebih RM300,000 yang dibikin khas buatnya.



6. Ini merupakan penampilan Olimpik keempat Azizulhasni sejak edisi Beijing 2008 dan London 2012 sebelum memenangi pingat gangsa dalam acara keirin di Rio 2016.

7. Untuk acara keirin, Azizulhasni akan tampil bersama seorang lagi pelumba muda negara iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom. Ini merupakan penampilan Olimpik pertama pemuda berusia 25 tahun tersebut.

8. Azizulhasni dilatih oleh jurulatih John Beasley. Mereka berpangkalan di Melbourne, Australia.

9. Dalam temasya Tokyo 2020, pit pasukan negara diletakkan bersebelahan pit pasukan Great Britain dan Australia. Oleh kerana Malaysia tidak menghantar pasukan yang besar, negara diberikan pit bersaiz lebih kecil.

10. Negara menyandarkan harapan besar dengan Azizulhasni menjadi prospek membawa pulang pingat emas pertama negara menerusi acara pecut individu lelaki.



Kredit Foto: Astro Arena
Instagram: @azizulhasniawang, @razaklatif