BERITA

10 Tahun Peram Bikin Filem, Pengarah Dedah Tiada Siapa Berani Buat Kerana…

Syafiqah Jalal 06/11/2020 | 05:45 MYT
Pengarah Latiff Azmi mendedahkan naskah Bikin Filem telah ‘diperam’ selama 10 tahun sebelum ia berjaya ditayangkan semalam.
Latiff Azmi atau lebih dikenali sebagai Mohd Yeop Hitler berkata ia kerana tiada produser yang berani untuk mengambil risiko menjayakan naskah tersebut.
“Bukan saya sengaja mahu menyimpannya dengan begitu lama tetapi tiada siapa yang berani untuk mengetengahkan naskhah ini.
“Bagi pembikin filem naskhah ini ibarat meludah ke langit kerana ia mendedahkan realiti industri lakonan dan perfileman.
“Sehinggalah saya berjumpa dengan produser Empire Filem yang ketika itu bersetuju menerima naskah ini dan menganggap ia sebagai hiburan yang menarik,” katanya kepada Astro Gempak.
Menampilkan ramai bintang hebat, filem terbaharu Astro Shaw ini telah menemui penonton di Astro First bermula 5 November 2020, semalam.
Bintang-bintang yang terlibat dalam filem ini adalah seperti Sherry Alhadad, Azhan Rani, Amerul Affendi, Mark Adam, Azrel Ismail, Sharifah Sakinah, Scha Alyahya, Erra Fazira, Azhar Sulaiman, Zain Hamid, Jasmin Hamid, Syazwan Zulkifly, Kodi Rasheed, Kamarool Hj Yusoff, ‘Raja Dubsmash Malaysia’ Ucop dan ramai lagi.
Mengulas lanjut menngenai Bikin Filem, Yeop Hitler mendapat idea menghasilkan naskhah itu daripada imaginasinya sendiri.
“Sebenarnya idea asal ini dari imaginasi saya sendiri sahaja. Saya sudah terlibat dalam kerja belakang tabir serta pembikinan filem sejak umur 16 tahun lagi.
“Dari pengalaman serta sedikit ilmu yang saya ada selama bekerja ini saya cuba inspirasikannya dari suduh pandang saya untuk diterjemahkan ke skrin yang lebih besar,” katanya lagi.
Bikin Filem mengisahkan tentang seorang bekas bintang filem terkenal dengan gosip-gosip liar, Khaty (Sherry Alhadad) yang ingin menerbitkan sebuah filem bertajuk Dendam Berbalas kerana baru bercerai. Khaty ingin pengarah Rahim G (Azhan Rani) untuk mengarah filem tersebut.
Namun, pelbagai cabaran dan insiden lucu mencuit hati berlaku sepanjang perjalanan pihak produksi menjayakan filem tersebut. Malah setiap kru, barisan pelakon dan pengarah mempunyai macam-macam kerenah dan ragam tersendiri yang menghiburkan.
Saksikan filem Bikin Filem yang akan berada di pawagam rumah anda, Astro First mulai 5 November 2020.
#pelakon #Filem #Pengarah #Pelakon #Filem #Bikin Filem