Penyanyi dangdut Indonesia Inul Daratista menyatakan permohonan maaf secara terbuka terhadap keluarga mangsa yang terkorban dalam kebakaran di pusat karaoke miliknya di Mega Megamas, Manado, Sulawesi Utara pada awal pagi Ahad.

Inul menerusi akaun Instagramnya melahirkan rasa simpati dan memaklumkan bahawa kejadian tersebut merupakan peringatan kepadanya supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Menurut Inul lagi, kejadian yang berlaku adalah dugaan baginya sepanjang 10 tahun membuka pusat karaoke tersebut dan dia perlu menghadapinya dengan bijaksana.

“Dalam kondisi sesulit apapun ini adalah JALAN yang sudah digariskan tinggal bagaimana saya harus bisa menghadapinya dgn bijaksana dan baik.

“Kejadian usaha bisnis saya dalam sejarah 10 tahun membangun semoga ini adalah peringatan buat saya ke depan untuk lebih baik lagi,"
tulisnya.


Bagaimanapun, komen-komen yang diberikan oleh pengikut Inul di akaun Instagramnya tidak menyalahkan penyanyi dangdut itu sebaliknya menganggap kejadian tersebut adalah ketentuan tuhan.

Terdahulu, dilaporkan seramai 12 orang terbunuh manakala 71 lagi cedera dalam kebakaran tersebut.

Kejadian berlaku kira-kira jam satu pagi di pusat karaoke, Inul Vizta Manadodi yang terletak di tingkat tiga sebuah kompleks.

Ketika kejadian, rata-rata pengunjung tidak menyedari kebakaran yang berlaku kerana asyik berhibur dan kemudiannya melarikan diri setelah menyedari api mulai marak.

Difahamkan ramai yang terperangkap kerana pusat karaoke tersebut hanya mempunyai satu pintu keluar dan menyebabkan mangsa mengambil keputusan terjun dari bangunan untuk menyelamatkan diri.

Kesemua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dibawa ke Hospital Kandou Malalayang, Manado.

Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 3.30 pagi.

Punca kebakaran berlaku dipercayai akibat daripada litar pintas.

Teks Oleh: Mya Amri