Seringkali ditawarkan watak komedi dalam filem, tiba masanya penyanyi dan pelakon, Hazama beraksi dalam filem bergenre aksi yang lebih mencabar kemampuan selepas lebih 16 tahun berkecimpung dalam dunia persada seni tanah air.

Hazama keluar dari zon selesa

Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi berkata, tawaran berlakon watak antagonis dalam filem genre aksi Coast Guard Malaysia: Ops Helang arahan Allahyarham Pitt Hanif dianggap peluang keemasan buatnya.

“Sebelum ini, saya sering ditawarkan watak komedi atau baik dalam lakonan. Sampai masanya saya keluar dari zon selesa.

“Saya sukar menolak apabila ditawarkan watak penjenayah, Kadok.

“Pada masa sama, saya memang minat filem aksi yang mengangkat wira perairan negara walaupun bukan watak utama.

“Ini juga filem ketujuh lakonan dan saya berkampung di Pulau Langkawi, Kedah selama sebulan untuk memberi fokus pada filem ini. Lokasi lain ialah di kawasan Gua Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang selama tiga hari,” katanya.

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu menampilkan gandingan aktor dan aktres popular, Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama.

Selain Hazama, filem ini dimantapkan lagi dengan penampilan barisan pelakon seperti Adlin Aman Ramlie, Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Hafiz Nafiah, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Afandi, Iman Zulkarnain dan Trisha Ooi.

Hazama berguru dengan Adlin Aman Ramlie

Mengulas wataknya, kata Hazama, dia banyak berguru dengan pelakon senior, Adlin Aman Ramlie dalam filem itu.

“Saya bawa watak Kadok iaitu adik sepupu kepada ketua penjenayah iaitu Samat (Adlin) dalam filem ini. Saya bersyukur dapat berguru dengan Adlin, kami sudah kenal sejak dalam program realiti, Akademi Fantasia.

“Selain Adlin, saya juga dapat bekerja dengan pelakon dan pengarah hebat Sabri Yunus dalam filem ini.

“Bila berlakon dengannya, saya mendapat sama ‘vibe’ yang baik. Adlin banyak memberi bimbingan pada saya untuk menjiwai watak Kadok seperti dikehendaki skrip.

“Saya banyak berbincang dengan Adlin dan kami berkumpul dengan barisan pelakon yang memegang watak ahli kumpulan penjenayah supaya mudah mendapat keserasian,” katanya.

Susah berlawan dengan Saharul

Ditanya babak sukar, kata Hazama, dia perlu menjayakan babak aksi perlawanan dengan watak utama, Leftenan Maritim Hafiz (Saharul Ridzwan).

“Bayangkan, saya perlu buat percubaan babak aksi berlawan dengan Saharul sebanyak 150 kali (take) untuk mendapatkan hasil terbaik mengikut tuntutan skrip.

“Ia adalah babak aksi pertama dan ia perlu dibuat sebanyak itu kerana perlu dapat sudut betul depan kamera dan mengikut masanya. Terus terang, babak aksi ini paling berat kerana memerlukan stamina yang tinggi,” katanya.

Dari segi latihan, kata Hazama, dia dibantu koreografer profesional untuk melakonkan babak aksi di lokasi penggambaran.

“Saya hanya berlatih satu hari untuk melakonkan babak aksi di lokasi. Saya sudah biasa buat persediaan dari segi stamina, sebelum masuk ke lokasi.

“Sudah namanya babak aksi, saya sakit badan selepas selesai penggambaran pada keesokan harinya,” katanya.

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang edaran Metrowealth International Group dan disokong Primeworks Studios (PWS), Media Prima Berhad (MPB).

Ia mula menjengah pawagam seluruh negara pada 2 Februari lalu dan ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.