Kebenaran merentas negeri sememangnya mampu membuatkan mereka yang sudah lama memasang niat untuk pulang ke pangkuan keluarga dilihat seakan mampu menarik nafas lega.

Terbaru, pelakon dan mentor usahawan tempatan, Tya Arifin juga tidak ketinggalan menzahirkan rasa gembira apabila hajatnya untuk pulang ke kampung halaman di Palembang, Indonesia kini tercapai selepas lebih dua tahun tidak bersua muka dengan orang tuanya.

Kata pelantun lagu Bagaikan Mutiara itu, dia memutuskan untuk pulang menziarahi keluarga di Palembang ditemani kedua cahaya matanya Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa tanpa suaminya, Asyraf Khalid di sisi.

"Keputusan untuk balik kampung dibuat pada saat akhir. Jadi, suami tidak dapat ikut kerana dia memerlukan visa pelancong untuk memasuki Palembang.

"Proses mendapatkan visa mengambil masa. Jadi, saya dan suami 'berpisah' seketika. Suami juga boleh menguruskan perniagaan jus kesihatan kami," katanya.

Dalam satu hantaran di Instagram, pengasas minuman kesihatan, Mutyara Beauty yang sebelum ini aktif berkongsi rutin hariannya ketika menjalani tempoh kuarantin di hotel mewah dilihat tidak mampu menahan rasa rindu selepas berkesempatan menatap wajah keluarganya.

A post shared by Tya Arifin (@tyaarifinnw)


Meskipun sebak memeluk tubuh bapanya ketika menjemput keluarga kecilnya di lapangan terbang, aktres yang mula dikenali menerusi drama Preman Pensiun ini dilihat tetap bersyukur kerana masih diberi rezeki untuk bertandang kembali ke negara asalnya.

"Alhamdulillah sampai di Palembang setelah 2 tahun lebih bertemu, Inilah kehidupan. Sebagai anak, kita haruslah lalukan yang terbaik untuk ibu bapa dan keluarga kita selagi mereka masih ada," katanya lagi.

Dalam pada itu, Tya juga tidak menyangka bahawa pandemik COVID-19 nyata memberi tamparan hebat terhadap ikatan persaudaraan apabila anak bongsunya Azzahra atau lebih mesra disapa Ara yang kini berusia 3 tahun sudah tidak mengingati datuk dan neneknya.

"Tya terkejut kerana sampai sahaja di Palembang, Ara dijemput oleh datuknya. Dia asyik menangis. Pada permulaan, Ara tampak sangat janggal kerana lama tidak bertemu. Namun selepas beberapa hari di sini, dia makin manja dengan datuk dan neneknya," tambahnya lagi.

Untuk rekod, selain menziarahi saudara-mara, Tya hadir ke Indonesia bertujuan untuk melebarkan lagi sayap empayar bisnesnya ke negara tersebut agar mampu membantu golongan wanita untuk keluar daripada kepompong kesusahan.

Selain aktif mengadakan seminar dan kelas bimbingan kepada usahawannya, Tya juga dikatakan menyasar lebih 5,000 usahawan Mutyara di negara berkenaan menjelang tahun 2022.