HIBURAN
Laku Keras! 60,000 Tiket Konsert My Chemical Romance ‘Sold Out’
Kumpulan rock antarabangsa, My Chemical Romance (MCR) berjaya menjual 60,000 tiket konsert dalam tempoh kurang tujuh jam.
Berita gembira itu dikongsi penganjur konsert, Hello Universe yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua peminat yang berperang' membeli tiket bermula pukul 11 pagi tadi.
"Terima kasih Malaysia.
"Sebanyak 60,000 tiket My Chemical Romance South East Asia Tour 2026 di National Stadium Bukit Jalil pada 30 April 2026 secara rasminya habis terjual!" katanya dalam satu hantaran Instagram.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata meluahkan rasa gembira dapat membeli tiket konsert tersebut bagaimanapun ada juga yang meluahkan rasa kecewa kerana gagal mendapatkan tiket.
Dalam pada itu mereka juga berharap Hello Universe dapat menambah kapasiti pada bahagian 'standing zone'.
"Tolonglah buka semula jualan untuk 'standing zone'. Kasihan kami.
"Buang masa lima jam 'battle' tiket, tak dapat pun beli.
"Tambah hari kedua!" luah mereka yang gagal membeli tiket.
Tiket konsert MCR dijual bermula dengan harga serendah RM299 sehingga RM1,099.
Terdahulu, selepas beberapa kali muncul dengan 'teaser' penganjur konsert tersebut iaitu Hello Universe mengumumkan konsert MCR di Malaysia bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada April tahun depan.
Perkongsian tersebut membuatkan ramai peminat setia MCR yang dianggotai Gerard Way Ray Toro, Frank Iero dan Mikey Way itu teruja meskipun harga tiket mencecah ratusan ringgit.
Malaysia merupakan salah satu lokasi yang tersenarai dalam siri jelajah MCR di Asia Tenggara selain Korea Selatan, Thailand, Filipina, Singapura dan Jakarta.
Antara seleksi popular mereka yang terus menjadi siulan sehingga hari ini adalah Welcome to The Black Parade, Helena, I Don’t Love You dan I’m Not Okay.
Must-Watch Video