Meskipun masih hijau untuk menampilkan Adrian sebagai vokalis baharu menggantikan penyanyi sebelum ini, namun band popular Indonesia, Samsons yakin dapat memberi kepuasan dalam Konsert Samsons 20th Anniversary Live Concert In Malaysia.

Anggota baharu, Adrian Martadinata akui dia terlalu kerdil untuk konsert berkenaan namun dalam masa yang sama merasakan ia adalah masa yang terbaik untuk memperkenalkan Samsons dengan barisan yang baharu kepada peminat di sini.

"Saya baru jalan bersama Samsons selama 2 tahun belum ada yang puluhnya pun tetapi kami tetap akan terus berjuang bersama-sama meskipun saya anggota baharu.

"Kami harap yang penting nanti, penonton hanya akan fokus ke semua hal bukan sahaja hendak melihat siapa yang akan menyanyikannya.

"Lagipun saya rasa ini lah masa yang terbaik untuk perkenalkan Samsons sekarang yang bukan sahaja akan mempersembahan nyanyian serta lagu-lagu popular malah pengalaman keseluruhan konsert kami nanti," katanya kepada Astro Gempak.

Selain Adrian, Samsons yang dianggotai tiga lagi anggota asalnya Aldri Dataviadi (bass), Erik Partogi Siagian (gitar) dan Irfan Aulia (gitar) turut hadir di sidang media untuk penganjuran konsert mereka di Malaysia pada 29 April nanti.

Sebagai anggota asal, Irfan pula menjelaskan nama Samsons adalah satu brand dan sepatutnya siapa vokalisnya tidak perlu dipertikaikan.

"Sebenarnya Samsons ni ibarat satu brand jadi tidak kisah siapa yang menyanyi atau anggotanya yang penting kami membawalan lagu-lagu Samsons.

"Lagipun kebolehan Adrian tidak boleh disangkal kerana dia seorang musician yang bagus serta komposer yang hebat dan berpengalaman.

"Saya pasti peminat kami di sini akan teruja menantikannya," katanya.

Samsons 20th Anniversary Live Concert in Malaysia 2023 anjuran ULTIMATE FILM SDN BHD bakal diadakan pada 29 April depan bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

Tiket menyaksikan persembahan ini mula dijual pada 8 Mac 2023 di laman web www.ticket2u.com bermula jam 3 petang.

Harga tiket dijual serendah RM298 sehingga RM428.