Hiburan
24 Tahun Dalam Bidang Seni, Pengurus Hadiahkan Siti Nurhaliza Kuih Badak Berendam
Pengurus kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak mendedahkan hadiah yang diberikan kepada penyanyi tersohor itu bersempena tahun ulang tahun ke-24 Siti dalam bidang seni.
Menyediakan kuih badak berendam untuk Siti, Rozi berkongsi perkara terbabit menerusi salah sebuah entri di laman Instagram miliknya.
"Kuih badak berendam buat @ctdk sempena 24 tahun beliau di dalam industri seni.
"Beliau tahu, saya sangat jarang menghadiahkannya material, barangkali saya tahu, beliau boleh memiliki lebih daripada apa yang mampu saya berikan.
"Cara kita 'menjaga' seseorang barangkali berbeza-beza.
Doa yang panjang, perhatian yang tak pernah lekang, ada sewaktu susah dan senang, nasihat yang dilayang dan tentunya memenuhi 'selera' di meja makan terhidang," tulis Rozi.
Penulis lirik dan pengusaha restoran itu juga menjelaskan signifikan kuih badak berendam yang dihadiahkannya kepada Siti.
"Badak berendam itu satu signifikan, meski sekadar sejenis kuih biasa dengan inti kegemaran @ctdk adalah gula kabung (bukan inti kelapa) tetapi setiap suapan beliau adalah keikhlasan yang dimaknakan dengan satu pemberian.
"Terima kasih untuk 24 tahun ini, @ctdk. Wasilah yang diperjuangkan dengan cara tersendiri dalam menerangi medan seni," tulis Rozi lagi.
Pada 1 April lalu, Siti meraikan ulang tahun ke-24 dalam industri hiburan tanah air.
Menerusi laman sosial Instagram, Siti berkongsi sekeping foto beserta ucapan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam perjalanan seninya sehingga kini.
Jangan lupa saksikan program-program yang pernah menampilkan Siti di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.
Must-Watch Video