Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

300 Bakal Jemaah Haji Terkandas Di Mekah, Diperdaya Pakej Murah

Gempak
12/05/2024 04:56 MYT
Kira-kira 300 bakal jemaah haji yang sudah berada di Makkah dilaporkan terkandas apabila agensi yang menguruskan perjalanan mereka gagal menunaikan janji untuk mendapatkan kebenaran mengerjakan ibadah itu pada musim ini.

Bakal jemaah haji terbabit menyedari mereka diperdaya selepas mendapati pakej murah yang ditawarkan oleh agensi terbabit menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah itu.

Siasat insiden

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata Lembaga Tabung Haji (TH) telah diarah untuk menyiasat insiden 300 bakal jemaah terkandas di Makkah akibat terpedaya dengan pakej haji murah yang ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.

Beliau turut menasihati semua mangsa supaya menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi untuk mendapatkan bantuan khidmat nasihat.

"Dalam hal ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui TH sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam di negara ini supaya lebih berhati-hati dengan sebarang pakej murah yang ditawarkan oleh segelintir agensi pelancongan yang tidak dilesenkan oleh TH," menurutnya dalam kenyataan seperti dilaporkan BERNAMA.


Mohd Na'im berkata mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan TH telah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Beliau berkata TH telah melantik 25 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji bagi Musim Haji 1445H/2024M dan umat Islam di negara ini dinasihat menggunakan khidmat mereka.

BERITA TRENDING: Wanita 61 Tahun Rugi RM6.2 Juta, Kena Scam Skim Pelaburan Emas Di Facebook!

PILIHAN PEMBACA: Pesara Guru Rugi RM225,000 Kena Tipu 'Lee Min-ho'

#Haji #Scam #Murah #KLIA #Kandas #Jemaah
;