Buat julung-julung kalinya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) mengumumkan bakal memberikan insentif Dana Kandungan Digital (KDK) kepada empat pemenang kategori terpilih di Anuegrah Industri Muzik (AIM) edisi ke 23.

Empat kategori terpilih tersebut adalah kategori Artis Baharu Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Terbaik dan Album Terbaik.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim berkata, dia amat gembira dan berbesar hati apabila menerima sokongan yang diberikan oleh pihak Kerajaan.

“Kami baharu sahaja menerima berita gembira ini daripada K-KOMM dan RIM selaku penganjur AIM, amat menghargai dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh Kerajaan terhadap penggiat industri muzik tempatan.

“Selaras dengan matlamat AIM untuk meningkatkan kualiti kandungan kreatif, inisiatif melalui DKD kepada empat pemenang kategori utama AIM ini akan menjadi pemangkin kepada penggiat Industri Muzik untuk menghasilkan karya kandungan kreatif berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Pemenang kategori anugerah terpilih akan menerima DKD sebanyak RM50,000 setiap seorang untuk Artis Baru Terbaik dan Lagu Terbaik, RM20,000 untuk Video Muzik Terbaik dan RM200,000 untuk Album Terbaik serta membawa pulang trofi kemenangan.

DKD yang diperuntukkan untuk pemenang AIM23 akan diberikan melalui syarikat rakaman kepada pemenang masing-masing agar pelaburan DKD tersebut mencapai impak maksima dan produktif serta melibatkan pelbagai rantaian peluang pekerjaan di dalam ekosistem industri muzik tempatan.

AIM 23 bakal berlangsung pada 11 September jam 9 malam menerusi siaran Astro Ria (104) yang dibawakan langsung dari Auditoriam MBSA Shah Alam.

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM)

RIM adalah persatuan tanpa-untung (non-profit association) yang mewakili sejumlah 370 syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.

Antaranya termasuk syarikat rakaman antarabangsa besar seperti Universal Music, Warner Music, Sony Music Entertainment dan Rock Records; serta syarikat rakaman tempatan persendirian seperti Hup Hup (Life Records), New Southern Records (NSR), Suria Records (SRC), Nova Music dan Kelarai Sakti.

RIM juga merupakan ahli Kumpulan Kebangsaan Persekutuan Industri Fonografik Antarabangsa (IFPI) yang mewakili industri rakaman di seluruh dunia dengan lebih daripada 8,000 ahli di 70 negara.

RIM telah melaksanakan pelbagai aktiviti demi pembangunan industri muzik tempatan termasuk melalui penerbitan Carta RIM, carta mingguan yang menyenaraikan 10 lagu tempatan dan antarabangsa dengan penstriman tertinggi di Malaysia.

Antara sasaran dan objektif RIM termasuklah mengekal dan menjalinkan etika perniagaan yang adil di kalangan ahli, mewujudkan dan mempromosi hak pemilik rakaman bunyi dan video melalui kes-kes undang-undang statut atau kontrak dan melalui perjanjian serta konvensyen yang membantu mempertahan, memelihara dan memajukan kesemua aspek tersebut.