Pelakon Badrol Shah, mengesahkan isteri tercintanya, Farah Shila Mazlan, telah kembali ke Rahmatullah, pada pagi Khamis akibat Covid-19.

Berita dukacita tersebut turut dikongsi Badrol Shah menerusi laman sosial Instagram (IG)nya.

Menurut Badrol Shah atau Bard, Farah menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8.15 pagi tadi selepas 45 hari bertarung nyawa dengan Covid-19.

“Isteri saya baru menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi pada jam 8.15pg di HKL (Hospital Kuala Lumpur)...Setelah 45 hari bertarung dengan Covid,” tulisnya pada hantaran tersebut.

Sementara itu Bard ketika dihubungi Gempak berkata dia masih berada di HKL sedang menunggu proses pengurusan jenazah selesai.

Katanya lagi, dia dan anak-anak reda dengan pemergian Shila dan menerima dugaan ini sebagai ketentuan illahi.

“Saya masih berada di hospital untuk menguruskan jenazah arwah isteri. Buat masa ini belum diketahui lokasi jenazah dikebumikan.

“Saya reda pemergiaan dia. Anak-anak pun semua sudah tahu dan mereka juga reda,” katanya.

A post shared by bard kerdil (@badrolshahmanan)


11 Ogos lalu, industri hiburan dikejutkan dengan berita pemergian isteri Bard namun berita tersebut disahkan satu kesilapan dari pihak hospital.

Bard turut memaklumkan isterinya Allahyarham isterinya dijangkiti Virus Covid-19 varian Delta pada 20 Julai lalu.

Pelakon kerdil itu berkahwin dengan Farah Sheila pada 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan Putri Da’aiyatul Insyirah, 2.

Allahyarham turut meninggalkan tiga anak perempuan berusia 7 hingga 12 tahun daripada hasil perkahwinan terdahulu dalam jagaan Bard.

Farah yang juga guru agama di Sekolah Rendah Agama Lembah Keramat dikomakan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL.

Bard sekeluarga termasuk empat anak-anaknya sebelum ini disahkan positif Covid-19 dan sudah selesai menjalani kuarantin di rumah pada 1 Ogos lalu.