Hiburan
5 Tahun Menyepi, Nazmi Irfan Kembali Dengan Lagu Asmara Cinta
Lima tahun menghilangkan diri dalam bidang seni sebenarnya membuatkan hatinya pedih. Bagi penyanyi yang mahu dikenali dengan nama Nazmi Irfan, rindunya pada bidang ini membuatkan dia bertekad untuk kembali semula seterusnya diterima ramai.
Hadir dengan lagu Asmara Cinta ciptaan Nur Rasa & Sheikh Qalam (lagu & lirik), penyanyi berusia 26 tahun ini yakin pertaruhannya menjadi memandangkan lagu berentak pop ballad cukup kena dengan telinga masyarakat yang sentiasa menyambut baik karya-karya seperti itu.
“Kalau sudah minat, mana boleh ditinggalkan bidang nyanyian. Ini juga yang saya rasakan saat ‘hilang’ beberapa tahun daripada industri seni. Tak tergambar dengan kata-kata bila akhirnya masih berpeluang untuk kembali ke gelanggang seni.
“Lagu Asmara Cinta juga sebenarnya besar ertinya. Saat mendapatkan sahaja lirik, saya tahu bait-bait perkataan tersebut merupakan gambaran kasih sayang sesama manusia dan dekat juga dengan ketuhanan,” katanya.
Mengambil masa tiga bulan untuk menelaah melodi dan lirik Asmara Cinta, kata Nazmi dia tidak mahu tergopoh-gapah memandangkan perlu membuat pelbagai persediaan mental dan fizikal sebelum sesi rakaman.
Dia sendiri sudah mempunyai kerjaya sendiri perlu dipertimbangkan pelbagai perkara agar tidak memberikan kesan kepada kerjaya yang sedang digalas semata-mata untuk kembali ke persada seni.
“Saya perlu membahagikan masa agar tidak menjejaskan pekerjaan. Menariknya semua pihak memberikan sokongan penuh saat saya menyatakan hasrat untuk kembali menyanyi. Semangat ini yang saya perlukan,” tambahnya lagi.
Sebenarnya anak kelahiran Kuala Lumpur ini bukanlah orang baharu memandangkan pernah menghasilkan sebuah mini album penuh ketika masih di bangku sekolah pada tahun 2007. Album yang mengandungi lima buah lagu tersebut mendapat sambutan hangat dan memperkenalkan namanya kepada peminat.
Berselang masa, Nazmi kembali mempertaruhkan single Kau Yang Satu ciptaan Asfan Shah pada tahun 2015. Lagu tersebut benar-benar memuncakkan namanya memandangkan menjadi runut bunyi (OST) kepada lima buah drama termasuklah Cinta Hati Batu dan Hidayah-Mu Ramadan.
Bukan mudah untuk sesebuah lagu menjadi OST kepada lima drama sekali gus, namun tuah bagai menyebelahi Nazmi ketika itu sebelum dia mengambil keputusan untuk meneruskan pelajaran bagi mengejar cita-cita.
“Saya berharap lagu ini akan diterima ramai dan mengembalikan semula nama saya ke dalam industri,” tambahnya lagi.
Asmara Cinta sudah berada di semua platform digital termasuklah Apple Music, Spotify, Joox, Deezer dan beberapa platform lagi. Lagu ini juga boleh didengari melalui saluran YouTube SHEIKH QALAM RECORDS.
Must-Watch Video