Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

5 Tahun Tinggalkan AF, Bisik Hati Jadi Single Perdana Isyariana

Maliah Surip
05/07/2021 01:20 MYT
Masuk ke dalam bidang seni menerusi program realiti Akademi Fantasia (AF) pada tahun 2016 lalu, nama Isyariana sebaliknya mekar sebagai seorang pelakon.

Malah pelakon yang kini hangat dengan drama Hati Yang Dikhianati ini tahun lalu dinobatkan sebagai pemenang Artis Baharu Wanita Popular 2020.

Namun, tidak mahu bakat nyanyiannya terpinggir, Isyaiana mengambil peluang di masa pandemik melahirkan single pertamanya.

Mengaku banyak mendapat demo lagu sebelum ini, namun hatinya terpaut dengan karya Ikhwan Fatanna bersama Wan Salleh tersebut.

Diberi judul Bisik Hati, lagu yang telah dilancarkan pada 6 Jun lalu di laman YouTube miliknya sendiri, Isyariana TV semakin mendapat perhatian.

Menurut perempuan cantik bermata bundar ini, dia berasakan waktu pandemik ini adalah waktu yang sesuai untuk lagu ini dilancarkan berdasarkan lirik lagu dan situasi mencabar yang kita lalui sekarang.

"Lagu ini sangat dekat dengan saya memandangkan jiwa Isya juga lebih kepada genre mellow balada. Bila pertama kali mendengar demo lagu ini, saya terus bersetuju untuk menjadikan lagu Bisik Hati sebagai single.

“Apa yang mencabar apabila saya sendiri yang menyunting video lirik tersebut dalam masa 24 jam mengikut kehendak yang diinginkan. Proses pengeluaran lagu juga adalah tidak mudah bagi Isya dan pihak pengurusan kerana banyak yang perlu kami pelajari sebelum ianya dipasarkan," katanya.

Selain menyanyi, Isyariana atau mesra dipanggil Isya tidak mensia siakan bakatnya apabila mengarahkan sendiri video muzik Bisik Hati.

"Visual dedaunan luruh menurut isya adalah simbolik mengenai luluh hati seorang insan yang menyedari akan kesilapan nya tetapi masih tetap melakukan kesilapan yang sama.

"Lagu Bisik Hati ini adalah mengenai bisik hati seorang hamba kepada sang Pencipta Yang Maha Esa," katanya lagi.

Dia juga mengatakan hadirnya Bisik Hati sebagai indikasi dirinya tidak pernah meninggalkan bidang nyanyian.

Bisik Hati boleh didapati di semua pelantar digital, Spotify, Joox, Apple Music, iTunes, YouTube Music dan sebagainya bermula 3 Julai lalu.

Instagram: @isyariana
#pelakon #Penyanyi #AF #Hati Yang Dikhianati #Isyariana #Bisik Hati